Tiada bukti kaitkan kematian Haziq dengan vaksin Covid-19 – pakar

0
2

TIADA bukti menunjukkan kematian atlet memanah negara, Haziq Kamaruddin berkaitan langsung dengan vaksinasi Covid-19.

Ketua Perkhidmatan Perubatan Forensik Kementerian Kesihatan (KKM), Datuk Dr Zahari Noor berkata keputusan itu diperoleh hasil laporan bedah siasat yang dijalankan di Hospital Kajang semalam.

Katanya, proses bedah siasat selesai dilakukan setelah calitan ujian Covid-19 yang diambil menunjukkan keputusan negatif bagi virus tersebut.

“Hasil bedah siasat menunjukkan kematian akibat komplikasi salur darah jantung tersumbat akibat daripada perubahan artarosklerosis (coronary artery atherosclerosis).

“Bagaimanapun siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk menunggu beberapa keputusan analisa makmal.

“Namun sehingga kini tiada bukti menunjukkan kematian adalah berkaitan langsung dengan vaksinasi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Allahyarham Haziq yang juga pemanah senior dan Olimpian negara, dilaporkan meninggal dunia awal pagi semalam.

Haziq yang berasal dari Johor Bahru dan sudah berkeluarga, pernah mewakili negara dalam dua temasya Sukan Olimpik iaitu London 2012 dan Rio 2016.

Susulan kematiannya, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menyifatkan tindakan pihak tertentu mengaitkan kematian Allahyarham dengan pengambilan vaksin Covid-19 adalah tidak bertanggungjawab.

Beliau juga memohon orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang berita yang tidak benar dan memberi ruang supaya pihak hospital buat bedah siasat. – Malaysiapost

Foto Kredit: Haziq Kamaruddin/Facebook & Dato’ Dr Zahari Noor/Twitter

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here