AHLI Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi menafikan beliau mempunyai kaitan dengan insiden perhimpunan, bakar suar dan kain rentang ‘Kerajaan Gagal’ di Parat Raja, Batu Pahat.
Menerusi satu hantaran di Facebooknya hari ini, Mohd Puad berkata ada individu yang cuba mengaitkan beliau dengan kejadian itu.
“Mungkin, pertama kerana saya Ketua Umno Bahagian Batu Pahat. Kedua, kerana saya konsisten mengatakan kerajaan PM8 (Tan Sri Muhyiddin Yassin) memang “Kerajaan Gagal”.
“Perlu dijelaskan, Parit Raja berada dalam kawasan Parlimen Seri Gading bukan Parlimen Batu Pahat. Maka jangan tuduh semberono.
“Sepatutnya yang perlu difikirkan kenapa di hari raya pertama rakyat sanggup buat perkara tersebut. Jangan fikir soal nak tangkap mereka sahaja,” katanya.
Mohd Puad mendakwa ada juga pihak yang berhari raya di lebuh raya sambil tayang sepanduk “Kerajaan Gagal”.
“Semoga PM8 berpijak di bumi nyata. Tahniah orang Parit Raja,” katanya.
Semalam polis menahan seorang lelaki berusia 21 tahun susulan kejadian perhimpunan, membakar suar dan menaikkan kain rentang bertulis ‘Kerajaan Gagal’ di Parit Raja, Batu Pahat tengah malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata pihaknya menerima laporan semalam mengenai rakaman video kejadian itu yang tular di media sosial.
Menurutnya, pengadu juga mendapati perhimpunan tersebut tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19. – Malaysiapost

