GABUNGAN kerjasama NGO atas nama MyAqsaDefenders (Kumpulan Mempertahankan al-Aqsa Malaysia) menyasarkan dana RM10 juta untuk membantu dan mempertahankan Al-Aqsa.
Gabungan itu menerusi kenyataan berkata agihan bantuan nanti akan dibahagikan kepada bantuan kecemasan, jangka masa sederhana dan panjang.
Menurutnya, sejumlah RM2 juta telah berjaya dikumpul oleh badan-badan gabungan NGO yang terlibat dan usaha untuk mencukupkan
dana sasaran kini sedang giat dilakukan.
“Daripada jumlah tersebut, RM1 juta telah disalurkan bagi memenuhi keperluan membaik pulih Klinik Al-Aqsa yang terjejas di samping memastikan stok ubat dan keperluan rawatan kecemasan sentiasa tersedia termasuk alatan seperti ventilator
bergerak.
“Sebahagian daripadanya juga telah dimanfaatkan untuk bantuan kewangan segera kepada murabitin Al-Quds, bayaran kos guaman mereka yang ditangkap sama ada dalam insiden Al-Aqsa atau Perkampungan Syeikh Al-Jarrah serta kafalah sara hidup penduduk Kota Lama Al-Quds.
“RM1 juta lagi telah diperuntukkan bagi bantuan baik pulih infrastruktur dan rumah penduduk di Kota Lama al-Quds dalam usaha memastikan mereka dapat terus bertahan dan mengekalkan demografi rakyat Palestin di kawasan tersebut,” katanya.
Menurut MyAqsaDefenders pertambahan kepada jumlah bantuan akan seiring dengan bertambahnya sumbangan yang diterima dari masa ke semasa.
“Dalam masa yang sama, pelan perancangan strategik jangka masa panjang seperti pembangunan kekuatan ekonomi, wakaf dan juga pendidikan akan turut diberi perhatian,” katanya.
MyAqsaDefenders juga menggesa masyarakat Malaysia untuk melihat isu Palestin ini diangkat bukan semata terkait hal keagamaan, namun persoalan ketidakadilan, pencabulan hak asasi manusia dan juga krisis kemanusiaan sejagat.
“Usaha dan objektif MyAqsaDefenders pastinya tidak dapat direalisasikan tanpa sokongan yang kukuh dari pelbagai pihak.
“Justeru kami mengalu-alukan penglibatan dan sokongan mana-mana institusi, NGO, tokoh-tokoh berpengaruh dan para artis untuk bersama menanam tekad untuk mempertahankan Masjid Al-Aqsa dan Kota Al-Quds,” katanya lagi.
MyAqsaDefenders dirintis anak-anak muda terdiri gabungan aktivis kemanusiaan yang telah lama berkecimpung dalam usaha membantu Palestin, di samping tokoh korporat, artis serta ‘influencer’ yang bersetuju mendokong dan mempertahankan Kota Suci umat Islam daripada terus dinodai. – Malaysiapost

