TENAGA Nasional Berhad (TNB) telah memperuntukkan sejumlah RM3 juta tahun ini untuk disalurkan kepada pelajar yang datang daripada keluarga B40 melalui program ‘Ceria Ke Sekolah’.
Pegawai Khas kepada Pengerusi TNB, Megat Mohd Rafiezi Megat Mohd Rodzi berkata, sejak lapan tahun lalu, TNB tidak pernah gagal melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menceriakan anak-anak sekolah melalui sumbangan pelbagai peralatan persekolahan menerusi program itu.
Terbaru, sumbangan peralatan persekolahan itu disampaikan kepada seratus pelajar di sekitar kawasan Parlimen Kuala Kedah yang disampaikan oleh beliau di Dewan Anak Bukit, Alor Setar, Kedah baru-baru ini.
“Ingin saya tegaskan di sini bahawa, setiap peruntukan yang disalurkan oleh TNB menerusi program CSR sampai ke tangan golongan sasar. Saya sendiri selaku Pegawai Khas kepada Pengerusi TNB, YB Datuk Seri Mahdzir Khalid turun padang menyampaikan sumbangan ini untuk dimanfaatkan oleh golongan sasar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, sejumlah lebih kurang tiga puluh ribu anak-anak daripada kumpulan B40 telah mendapat manfaat menerusi program CSR itu.
Tambah Megat Mohd Rafiezi, sumbangan yang diberikan itu menunjukkan bantuan Ceria Ke Sekolah TNB sampai ke golongan sasar dan sememangnya dinantikan oleh anak-anak sekolah kumpulan B40 terbabit.
Bagaimanapun, katanya, masa agihan sumbangan tahun ini mengalami sedikit kelewatan berikutan kekangan pergerakan rentas negeri dan daerah yang dikuatkuasakan akibat pandemik Covid-19 yang melanda negara.
“Saya fikir semua pihak memahami situasi kelewatan agihan sumbangan tersebut memandangkan kita dibatasi dengan Covid-19 yang menyebabkan semua pihak terjejas. Namun demikian, kita telah cuba sedaya-upaya menyelesaikan agihan sumbangan CSR ini pada awal bulan April lalu, semuanya dah selesai,” katanya.
Selain peralatan persekolahan, turut diberikan kit ‘Anti-Covid-19’ yang mengandungi pelitup muka dan cecair sanitasi tangan, sesuai dengan situasi semasa wabak yang masih berleluasa.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan, TNB bercadang untuk melakukan pemberian sumbangan kepada anak-anak kakitangan TNB pada tahun hadapan seperti diutarakan oleh Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid sendiri dalam satu majlis penyerahan sumbangan Ceria Ke Sekolah Peringkat Ibu Pejabat TNB baru-baru ini.
“Untuk sumbangan Ceria Ke Sekolah bagi tahun hadapan, TNB juga bercadang untuk menyampaikannya kepada anak-anak kakitangan TNB sendiri sebagai satu bentuk penghargaan kepada kakitangan,” katanya. – Malaysiapost

