Pasar Chow Kit tumpuan warga kota beli barang keperluan Aidilfitri

0
2

Nilam Oshman

WALAUPUN beraya dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), warga kota tetap membuat persiapan untuk menyediakan juadah istimewa menyambut Aidilfitri.

Tinjauan Malaysiapost di Pasar Chow Kit di ibu negara mendapati orang ramai membeli pelbagai barangan keperluan untuk dimasak sebagai hidangan istimewa pada pagi 1 Syawal.

Malah, rata-rata pengunjung dilihat membeli barangan basah seperti ayam dan daging untuk dibuat rendang, selain kelengkapan membuat ketupat dan juadah istimewa lain.

Pengunjung, Ahmad Baihaqi Ab Aziz, berkata walaupun tidak dapat balik beraya di kampung kerana PKP, beliau dan isteri tetap melakukan persiapan raya termasuk menyediakan juadah lebaran seperti ketupat dan rendang daging.

Justeru, katanya, beliau seawal pagi sudah mengunjungi Pasar Chow Kit untuk membeli daun palas dan daging.

“Hari ini, kami datang ke pasar untuk beli daun palas nak buat ketupat selain beli daging untuk buat rendang memandangkan tak boleh balik kampung di Tanah Merah, Kelantan. Dalam masa sama juadah-juadah ini dapat mengingati suasana di kampung.

“Saya juga membeli ikan siakap bagi juadah berbuka puasa malam ini. Lagipun harga barangan basah di sini berpatutan dengan keadaan sekarang ini,” katanya ketika ditemui Malaysiapost.

Pengunjung, Kharani Marzuki, 58, pula bersyukur dan lega penyediaan barangan basah sempena Aidilfitri ini sudahpun lengkap.

Katanya, beliau menghadapi kesukaran mencari barangan tersebut apabila pasar dan pasar raya berdekatan kediamannya di Bandar Baru Sentul ditutup disebabkanpenularan jangkitan Covid-19.

“Nasib baik ada Pasar Chow Kit.. jadi, hari ini saya dapatlah beli daging dan ayam, halia, bawang, rempah.. banyaklah borong.. sampai tak menang tangan nak pegang barang ini.

“Senang dekat sini semua yang kita nak ada, lagi satu tak ramai orang hari ini jadi kuranglah sesak dan mudah. Semua barang dapat beli,” katanya.

Sementara itu, Peniaga daging, Betawi Ahmed, 48, berkata, beliau berasa lega melihat pengunjung mulai ramai hari ini.

“Keadaan sekarang ini okaylah, ramai pengunjung mulai datang hari ini, sebab nak raya. Selalu hari biasa tak ada orang cuma hari minggu sibuk sedikit,” katanya.

Katanya, jualan daging dilihat sedikit laris hari ini malah permintaannya juga tinggi untuk raya ini walaupun PKP.

“Ramai cari daging segar hari ini, lakulah berbanding sebelum ini.. PKP pun permintaan daging tinggi jadi kita memang sediakan stok daging yang banyak lebih-lebih lagi untuk syawal.

“Kita juga ada menjual beberapa bahagian daging seperti daging pejal, 1 kilogram (kg) berharga RM42; daging biasa (1 kg RM36); tulang , hati dan paru masing-masing 1 kg berharga RM35,” katanya.

Dia turut berharap lebih ramai pengunjung yang datang sekali gus merancakkan kembali perniagaan dan suasana di pasar berkenaan seperti tahun sebelumnya.

Manakala, Peniaga ayam, Mohamad Ismail, 56, pula berkata, beliau merindui suasana riuh-rendah di Pasar Chow kit.

Katanya, selalunya seminggu sebelum Aidilfitri, orang ramai sudah mulai menyerbu pasar ini tapi kini lengang.

“Rindu keadaan dulu.. tengoklah pasar ini kurang orang walaupun minggu ni dah nak raya. Waktu ini, harga ayam biasa kini RM7.90 untuk satu kilogram, murah.. tapi disebabkan keadaan sekarang ini susah nak jual.

“Kalau tahun sebelum Covid-19 ini, tengah hari ayam dah habis, tak payah berdiri dan tunggu lagi macam ini. Ditambah dengan PKP, orang luar dari Kuala Lumpur, memang tak datang la.

“Kalau dulu bukan setakat KL, orang Selangor, negeri lain pun turun juga sini. Nak buat macam mana, dah arahan kerajaan tak boleh rentas negeri, kita akur sajalah,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here