AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegur tindakan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menggunakan Twitter sebagai saluran komunikasi dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung isu Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19.

Beliau berkata, perkara itu disifatkan melampau kerana ia menggambarkan seolah-olah isu SOP dilakukan menerusi borak santai di Twitter sahaja.
“Apabila saya sebut SOP PKP 3.0 ini terlalu mengelirukan, sepatutnya Kerajaan PN selesaikanlah masalah ini dengan rancangan dan persiapan rapi.
“Tapi macammana nak selesaikan hal SOP kalau komunikasi antara MITI kepada PDRM dibuat melalui tweet di Twitter?
“Adakah ini cubaan untuk membuat jenaka atau kerajaan sudah hilang rasa sensitif pada rasa susah rakyat? Hal SOP jadi hal borak santai di Twitter sahaja? Melampau,” katanya menerusi Facebook.
Terdahulu, tular ciapan Twitter MITI kepada PDRM yang memaklumkan kepada pihak berkuasa itu mengenai surat yang dikeluarkan kementerian itu tidak memerlukan cop polis.
Ia susulan respon kepada seorang pengguna Twitter yang mendakwa polis memaklumkan kepadanya bahawa surat kerja juga memerlukan cop daripada PDRM.
“Terima kasih atas makluman Cik.
“Salam.. @PDRMsia @PDRMsia_Trafik mohon maklum ya. Surat MITI untuk tujuan kerja tidak perlu dicop.” ciap MITI menerusi akaun rasmi Twitternya.
Ciapan itu sekali gus mengundang reaksi pelbagai pengguna Twitter yang kebanyakannya menyifatkan perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia bukan saluran betul untuk berkomunikasi antara agensi kerajaan. – Malaysiapost

