Patuhi larangan rentas negeri ketika Aidilfitri – Tun M

0
2

Nurul Huda Abhar

BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan agar orang ramai agar mematuhi arahan larangan rentas negeri dan daerah ketika Aidilfitri, bagi memutuskan rantaian Covid-19.

Menurutnya, lawatan dan aktiviti ziarah-menziarahi ketika Hari Raya Aidilfitri hendaklah dielakkan supaya jangkitan Covid-19 boleh dihindari.

“Kita kena bersabar pada Hari Raya tahun ini kerana kita ingin lihat penyakit (Covid-19) ini dikurangkan dengan tindakan oleh kita,” katanya hari ini.

Beliau berkata sedemikian menerusi kenyataan khas berkenaan situasi Covid-19 di Malaysia, yang disiarkan secara langsung menerusi Facebooknya, sebentar tadi.

Dr Mahathir berkata, individu yang belum memperolehi vaksinasi boleh berusaha mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 untuk perlindungan diri.

Menurutnya, orang ramai akan dilindungi lebih 90 peratus daripada dijangkiti virus Covid-19, jika telah menerima dos penuh vaksinasi.

“Kena pandang serius keadaan dalam negara kita. Kalau tak berjaga-jaga kita akan jadi seperti India dan Brazil, di mana ribuan yang dijangkiti setiap hari.

“Mereka (petugas kesihatan) tidak mampu untuk jaga, rawat yang jatuh sakit. Ramai antara mereka dibiarkan begitu sahaja dan kebanyakan sudah meninggal.

“Ini boleh berlaku di Malaysia kalau kita tak berjaga-jaga. Saya rayu pada semua rakyat tak kira kaum, parti, tolong kurangkan kemungkinan dijangkiti dengan patuh prosedur operasi standard (SOP). Kalau boleh tinggal di rumah sahaja,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Langkawi itu memohon maaf kerana tidak menunaikan solat di masjid kerana bimbang dengan keselamatan dirinya kerana sering didekati orang ramai yang ingin bertanya khabar.

Mengakui berterima kasih kerana orang ramai mengambil berat akan kesihatannya, namun begitu beliau terpaksa mengelakkan diri muncul di kawasan tumpuan ramai atas faktor kesihatan.

“Sama juga ketika di bazar Ramadan, akan ada yang mendekati dan minta bergambar dengan saya.

“Bila bazar diadakan jumlah pesakit (Covid-19) beribu. Ini kerana kita tidak jauhkan diri dengan orang lain. Ya, saya akui sukar untuk buat demikian jika berjumpa saudara mara dan rakan-rakan.

“Yang penting adalah kawalan diri, jangan berdekatan dengan orang lain. Ini sahaja yang boleh menolong kita dan pakai pelitup muka untuk elak jangkitan tersebar,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here