‘Masih mahu tanya kenapa KKM suruh PKP?’

0
3

Nurul Huda Abhar

KEADAAN di pusat membeli belah yang sesak, dan perkumpulan di tempat awam tanpa penjarakan fizikal semakin membimbangkan petugas kesihatan dan barisan hadapan.

Dr Arisman Wenge Abdul Rahman bertanya kepada orang ramai adakah masih ingin mempersoalkan tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mahu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

‘Masih mahu tanya kenapa KKM suruh PKP? Kenapa KKM perintahkan larangan merentas daerah di seluruh negara bermula esok?,” tulisnya di hantaran Facebook.

Dr Arisman turut memuatnaik foto keadaan di luar sebuah pusat membeli belah di Sabah, yang dipenuhi pengunjung, dan rata-rata mereka tidak mengamalkan penjarakan sosial.

Katanya, Malaysia sudah berdepan dengan wabak Covid-19 lebih satu tahun namun pematuhan prosedur operasi standard (SOP) masih lemah.

“Sudah lebih satu tahun usia Covid-19 sehingga dah ada anak, along, angah, menantu, anak buah, adik ipar segala keluarga Covid-19 dalam negara kita tetapi masih ramai juga yang mengendahkan SOP dan meremehkan bahayanya penyakit Covid-19 ini,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Dr Arisman mengingatkan orang ramai di mana katil-katil di hospital di seluruh negara hampir penuh, termasuk di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Nak beritahu sekali lagi, semua hospital di seluruh negara sudah hampir (ada yang dah penuh walaupun tambah katil) penuh katil ICU.

“Nyawa yang boleh diselamatkan pada awalnya tetapi kerana keterbatasan tenaga dan fasiliti rawatan, akhirnya berakhir dengan kematian,” katanya.

Semalam sahaja, sebanyak 3,733 kes baharu direkodkan, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan Covid-10 di Malaysia sebanyak 440,667.

Kes yang dirawat di ICU sebanyak 416 kes, manakala yang memerlukan bantuan alatan pernafasan 216 kes. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here