LAZIMNYA menjelang Aidilfitri pasti kita dihidangkan dengan iklan Hari Raya yang gembira, kemeriahan sambutan lebaran mahupun yang mengundang kesedihan.
Namun, berbeza dengan iklan Aidilfitri keluaran Saji tahun ini yang pasti mengundang air mata kepada sesiapa yang menontonnya.
Menariknya, iklan yang ditontonkan ini diambil dari kisah benar, bukan rekaan semata-mata.
Kisah yang dipaparkan video ini berkisar seorang wanita yang menghantar makanan setiap hari di hospital tempat arwah suaminya pernah bertugas.

Meskipun diolah sedikit, namun jalan ceritanya tetap sama dengan kisah makcik Saadiah Abdullah yang hampir 40 tahun berbasikal ke Balai Polis (IPD) Gerik untuk menghantar kuih.
Menerusi perkongsian netizen di Twitter, dipercayai makcik Saadiah berbuat demikian sebagai cara untuk ‘moved on’ sejak suaminya dibunuh komunis pada tahun 1975.
Dia akan membawa kuih setiap hari untuk diberikan kepada anggota polis yang bertugas.
Kisah tersebut pernah disiarkan akhbar Berita Harian pada tahun 2012, dan kini ksiahnya diceritakan semula untuk tontonan ramai sempena hari raya ini.
Suaminya, Allahyarham Alias Daud merupakan seorang botman, namun dibunuh kejam oleh komunis ketika bertugas menghantar makanan kepada polis hutan.

Disebabkan kasih dan rindu yang tidak pernah luntur, makcik Saadiah tetap dengan rutin hariannya menghantar makanan ke tempat kerja suaminya itu walaupun setelah kehilangan suaminya.
Tinjauan di ruangan komen, rata-rata netizen mengakui mereka sebak dan mengalirkan air mata ketika pertama kali menonton iklan ini.
Dalam pada itu, ramai juga yang baru tahu iklan tersebut diilhamkan daripada kisah benar, maka semakin deraslah air mata berguguran mengenangkan keperitan yang dilalui oleh makcik Saadiah itu.
“Mungkin inilah iklan raya paling sedih tahun ini. Dahlah tak dapat balik beraya, tengok pulak kisah makcik ini,” luah seorang netizen.
“Betapa kasihnya dia kepada suaminya. Syurgalah tempatmu makcik,”kata netizen lagi. – Malaysiapost

