SENARAI kawasan titik panas Covid-19 yang dikeluarkan melalui sistem amaran awal ‘Hotspots Identification for Dynamic Engagement’ (HIDE) menunjukkan Kuala Lumpur dan Selangor mencatatkan paling banyak lokasi dan premis.
Berdasarkan maklumat itu antara premis yang disenaraikan adalah pusat beli belah, pasar raya, pasar awam, bazar Aidilfitri, bazar Ramadan dan restoran.
Paling mengejutkan, sebuah rangkaian restoran yang mempunyai cawangan di beberapa negeri disenaraikan paling banyak pontensi menjadi lokasi titik hitam iaitu membabitkan 13 cawangannya.
Selain itu, sebuah restoran jejantas di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) juga disenaraikan sebagai berpotensi menjadi kawasan titik hitam Covid-19.
Beberapa masjid juga tersenarai dalam senarai sistem HIDE itu.
Terdahulu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) , Khairy Jamaluddin berkongsi senarai lokasi dan premis terbabit yang dikeluarkan HIDE itu di Facebook MOSTI.
Dalam kenyataannya mengenai perkara itu, beliau memaklumkan sistem berkenaan bertujuan memberi maklumat awal kepada orang ramai berhubung lokasi yang berpontensi menjadi kawasan titik panas Covid-19 sekaligus dapat membendung penularan wabak berkenaan.
Menurutnya, perkongsian senarai lokasi itu adalah bertujuan membantu masyarakat merancang perjalanan dan keputusan yang wajar sebelum ke sesebuah lokasi atau premis agar dapat menghindari risiko jangkitan Covid-19.
[ File : 2021-05-08_HIDE_ForRelease.pdf ]
2021-05-08_HIDE_ForRelease
Beliau yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) berkata, ia juga boleh dijadikan panduan kepada pemilik atau pengusaha premis untuk mengambil langkah proaktif bagi mencegah dan melindungi premis daripada menjadi pusat penularan jangkitan wabak itu. – Malaysiapost

