MAHKAMAH Tinggi Shah Alam hari ini menolak permohonan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mendapatkan penghakiman terus terhadap saman bagi tuntutan kembali RM10.3 juta cukai tertunggak Nooryana Najwa, anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Hakim Faizah Jamaludin menyatakan bahawa pegawai yang mengemukakan afidavit tidak menyatakan dia percaya defendan (Nooryana) tidak mempunyai pembelaan terhadap tuntutan cukai yang perlu dibayar.
Selain itu, hakim juga mendapati sijil yang dikemukakan oleh kerajaan sebagai bukti amaun cukai tertunggak dan perlu dibayar itu, tidak ditandatangani oleh ketua pengarah LHDN.
“Tidak ada bukti di hadapan mahkamah ini bahawa orang yang menandatangani sijil itu adalah pegawai yang dilantik untuk melaksanakan sebarang tugas ketua pengarah dalam bentuk tulisan tangan’ selaras Seksyen 136 (5) Akta berkenaan, bagi menandatangani sijil itu bagi pihaknya.
“Sijil yang ditandatangani Ketua Penolong Pengarah LHDN, Cawangan Guaman Kuala Lumpur, tanpa sebarang bukti bahawa dia dilantik bagi melaksanakan sebarang tanggungjawab ketua pengarah di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967, atau diberi kuasa dalam bentuk tulisan tangan bagi menandatangani sijil itu bagi pihaknya.
“Ia bukti yang tidak mencukupi mengenai amaun cukai tertunggak. Sijil itu juga tidak cukup bagi mahkamah ini untuk memberi penghakiman mengenai cukai tertunggak dan perlu dibayar defendan,” katanya seperti dilaporkan Bernama hari ini.
Prosiding penghakiman terus adalah apabila mahkamah membuat keputusan mengenai satu kes tanpa mendengar keterangan saksi.
Bagaimanapun, Faizah menjelaskan keputusan mahkamah menolak permohonan tersebut bukanlah satu keputusan mengenai merit tuntutan plaintif terhadap cukai tertunggak yang perlu dibayar oleh defendan pada tahun 2011 hingga 2017.
“Ia juga bukan satu keputusan terhadap merit tuntutan defendan bahawa taksiran cukai adalah tidak berasas dan atau taksiran yang tidak betul.
“Ketepatan taksiran cukai dan merit pembelaan defendan adalah persoalan mengenai fakta yang akan ditentukan oleh Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan pada pendengaran rayuan defendan terhadap taksiran itu,” katanya lagi.
Mahkamah menetapkan 8 September untuk pengurusan kes bagi LHDN mengemas kini mahkamah, sama ada untuk merayu terhadap keputusan itu atau sebaliknya.
Peguam Kanan Hasil Norhisham Ahmad dan Al-Hummidallah Idrus mewakili LHDN manakala Nooryana diwakili Wee Yeong Kang dan Muhammad Farhan Muhammad Shafee.
Pada 24 Julai lalu, kerajaan sebagai plaintif memfailkan saman dan pernyataan tuntutan menerusi LHDN, dengan menamakan Nooryana, 32, sebagai defendan.
Menurut kenyataan tuntutan, plaintif mendakwa Nooryana gagal menyerahkan Borang Nyata Cukai Pendapatan Individu kepada LHDN di bawah Seksyen 77 Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun taksiran dari 2011 hingga 2017. – Malaysiapost

