Misi repatriasi bawa pulang rakyat Malaysia dari India – Hishammuddin

0
2

KERAJAAN dalam misi repatriasi bagi membawa pulang rakyat Malaysia yang berada di wilayah utara dan barat India memandangkan negara itu terus mencatatkan peningkatan dalam kes baharu Covid-19 dan kematian.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, misi yang dilaksanakan dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Kementerian Kesihatan itu akan menggunakan pesawat sewa khas.

“Pesawat itu akan berlepas ke New Delhi dan Mumbai, India dalam masa terdekat sebaik sahaja urusan berkaitan termasuk kelulusan penerbangan daripada kerajaan India diperolehi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hishammuddin berkata, keputusan itu dibuat secara bersama melibatkan pelbagai agensi, selain mengambil kira maklumat hasil pemerhatian dan analisa oleh pejabat-pejabat perwakilan Malaysia di India.

“Rakyat Malaysia yang akan dibawa balik termasuk petugas (home based staff) pelbagai agensi serta tanggungan mereka diwajibkan menjalani ujian Covid-19 sebelum berlepas dari India dan sebaik tiba di Malaysia.

“Selain itu, mereka juga wajib menjalani kuarantin selama 14 hari di pusat kuarantin yang ditetapkan kerajaan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, rakyat Malaysia di wilayah utara dan barat India yang berhasrat menyertai misi itu dinasihatkan mendaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi dan Konsulat Jeneral Malaysia di Mumbai melalui e-mel [email protected] atau [email protected] selewat-lewatnya jam 5 petang pada 7 Mei ini waktu India.

“Semua rakyat Malaysia di India khususnya di wilayah utara dan barat diingatkan agar sentiasa berhubung dengan pihak suruhanjaya tinggi dan konsulat jeneral bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan misi itu atau sebarang bantuan konsular,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, misi repatriasi itu tidak melibatkan wilayah selatan dan timur India memandangkan situasi di wilayah berkenaan masih terkawal.

Tambahnya, Kementerian Luar melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Chennai akan terus memantau situasi di wilayah berkenaan dan membuat penilaian berterusan bagi memastikan keselamatan serta kebajikan rakyat Malaysia di sana terus dijaga.

“Misi repatriasi ini merupakan usaha dan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di luar negara sentiasa dilindungi,” katanya.

Hishammuddin berkata, misi yang sama pernah dilaksanakan semasa penularan pandemik Covid-19 tahun lepas melibatkan repatriasi rakyat Malaysia dari Wuhan, China, Iran dan Itali.

India hari ini mencatatkan rekod baharu dunia selepas menyaksikan peningkatan tertinggi bilangan kes dalam sehari, iaitu 412,262 kes baharu.
Jumlah jangkitan pula melebihi 21 juta dan kematian baharu rekod sebanyak 3,980 menjadikan jumlah kematian kini mencapai 230,168. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here