Langgar SOP: Najib, pengurus restoran kena kompaun RM13,000

0
2

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dikenakan kompaun RM3,000 manakala pengurus restoran nasi ayam dikenakan kompaun RM10,000 atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, berkata Yeok Wei Hoa yang juga pengurus restoran nasi ayam terbabit didapati gagal mengarahkan Najib mengimbas suhu dan mendaftar diri ketika memasuki premisnya yang terletak di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Katanya, Najib pula dikenakan kompaun atas dua kesalahan iaitu gagal mengimbas suhu badan dan mendaftar kehadiran.

“Kertas siasatan kes pelanggaran SOP norma baharu oleh Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak di Restoran Nasi Ayam Bukit Bintang telah dikembalikan dari Pejabat Peguam Negara, hari ini.

“Yeok Wei Hao selaku Pengurus Restoran Nasi Ayam Hainan Chee Meng dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 kerana gagal mengarahkan Najib membuat imbasan MySejahtera atau menulis nama dalam buku daftar sebagaimana yang disyaratkan dalam SOP norma baharu yang sedang berkuatkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Wei Hoa melakukan kesalahan di bawah Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam kawasan tempat penyakit berjangkit) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (NO4) 2021.

Sementara, Najib didapati melakukan kesalahan di bawah Peraturan 19, Peraturan yang sama kerana melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat PKPB.

“Justeru, PDRM menasihati orang ramai supaya terus mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam memerangi Covid-19,” kata kenyataan itu.

Sebelum ini, Najib mengakui kesilapan beliau tidak mengimbas MySejahtera ketika makan di kedai berkenaan.

Beliau meminta pihak berkuasa mengeluarkan kompaun terhadapnya kerana kecuaian tersebut.

“Saya mengaku kesilapan saya pada kali ini tidak membuat ‘check-in’ sendiri walaupun pegawai-pegawai saya telah berbuat demikian.

“Tidak mengapa. Saya minta pihak berkuasa keluarkan saman terhadap saya atas kesilapan tidak sengaja ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here