
[Parlimen] RANG undang-undang (RUU) bagi meminda Pelembagaan Persekutuan supaya jawatan Perdana Menteri ditetapkan tidak melebihi dua penggal, telah ditarik balik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan menarik balik RUU itu mengikut Peraturan Mesyuarat 62, Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
“Saya bangun untuk memohon mencadangkan bahawa menurut Peraturan Mesyuarat 62, saya mohon untuk menarik balik DR 42/2019 Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2019,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Namun, Takiyuddin tidak menjelaskan mengapa RUU berlabel DR 42/2019 tersebut yang dibentangkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Disember lalu ditarik balik.
Dalam pindaan membabitkan Fasal 2 (a) Artikel 43 Perlembagaan Persekutuan yang dicadangkan itu, seseorang ahli Dewan Rakyat tidak boleh dilantik sebagai Perdana Menteri jika dia pernah memegang jawatan tersebut bagi tempoh dua penggal. – Malaysia Post
