KAJIAN semula perintah gaji minimum 2020 bagi memastikan ia kekal relevan dengan sosioekonomi semasa adalah baik untuk rakyat yang kian terbeban dengan kos sara hidup ketika ini.
Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata situasi hari ini memperlihatkan gaji sedia ada tidak mampu menampung kenaikan harga barang apatah lagi terdapat ramai golongan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Menurutnya, jika benar kerajaan dapat meningkatkan gaji minimum semaksima yang boleh, beliau amat menyokongnya.
“Beberapa hari yang lalu Perdana Menteri memberi harapan baharu untuk kerajaan melaksanakan kajian semula perintah gaji minimum 2020 bagi memastikan ia kekal relevan dengan sosioekonomi semasa.
“Berdasarkan gaji minimum dilaksanakan ketika ini, bayaran RM1,200 dibuat di 57 majlis bandar raya dan majlis perbandaran di seluruh negara. Bagi kawasan selain wilayah bandar utama, kadar gaji minimum kekal pada RM1,100.
“Menetapkan gaji minimum pada kadar semaksimum mungkin bukan mudah kerana terdapat banyak halangan daripada pihak swasta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, majikan swasta terutama pengilang enggan memberikan gaji minimum kerana mereka boleh mendapatkan pekerja asing dengan mudah dan murah.
“Mereka juga mengugut memindahkan pelaburan ke luar negara dengan situasi ini seringkali berlaku di negara-negara yang sedang membangun.
“Jika benar kerajaan dapat meningkatkan gaji minimum semaksima yang boleh, saya amat menyokongnya.
“Ia sesuatu yang baik untuk rakyat kerana mereka terbeban dengan kos sara hidup ketika ini. Namun perlu diingat peningkatan gaji minimum bakal mengundang lebih ramai pekerja dari luar yang mahu mendapatkan tawaran gaji lumayan,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, jika ia dapat dilaksanakan diharap kerajaan mengutamakan rakyat tempatan dan pastikan mereka merebut peluang ini dengan mengisi ruang pengangguran sedia ada.
“Lagipun baru-baru ini ada seorang menteri menyatakan ekonomi Malaysia dalam keadaan stabil. Banyak pelaburan langsung asing (FDI) berjaya dibawa masuk. Maka ia masa bersesuaian untuk meningkatkan pendapatan rakyat.
“Pernah ada sebuah gabungan parti politik memberi tawaran untuk meningkatkan gaji minimum sehingga RM1,500. Janji-janji itu dijadikan modal untuk menewaskan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Tetapi apabila memerintah, janji hanya tinggal janji. Ramai yang belum lupa dengan janji itu, dan ramai juga yang termakan dengan janji tersebut,” katanya.
Menurutnya, sekitar tahun 1980-an seorang menteri turut melaungkan insentif buruh murah untuk menarik kehadiran pelabur seperti Motorola, Robert Bosch, Western Digital dan National Semiconductor.
Katanya, ketika itu kesatuan sekerja tidak dibenarkan untuk ditubuhkan kerana jika dibenarkan mungkin kesatuan akan mengadakan demonstrasi di Parlimen.
“Apa-apa pun dalam kesibukan kita membincangkan gaji minimum kita lupa gaji menteri. Rekod memperlihatkan gaji Timbalan Menteri dan Menteri adalah sekitar RM30,000 hingga RM60,000 sebulan.
“Sewaktu Ordinan Darurat dilaksanakan ada kalanya kita tidak dapat melihat menteri dan timbalan menteri berkenaan. Al maklumlah Parlimen tidak bersidang. Mereka semua sibuk turun padang berjumpa rakyat dan bukan bercuti,” perlinya. – Malaysiapost

