SEMUA institusi pendidikan termasuk sekolah di Selangor diarah tutup mulai esok berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam daerah di negeri itu.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata tindakan ini diambil selepas pihaknya mendapati risiko penularan Covid-19 masih lagi berlaku di institusi pendidikan termasuk sekolah.
“Selain itu, mengambil kira cuti yang akan bermula 10 Mei ini sempena Aidilfitri. Ini bermakna hanya dua hari dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jadi kita buat keputusan untuk tutup sekolah bermula 6 Mei.
“Justeru, kita berterima kasih atas keprihatinan Menteri Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Jabatan Pendidikan mengizinkan supaya Selangor melaksanakan penutupan sekolah sehingga cuti Raya dan seterusnya proses Pengajaran dan Pembelajaran di rumah (PdPR).
“Namun, jika keadaan berubah, kita sedia untuk mempertimbangkan arahan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),” katanya dalam sidang media Majlis Keselamatan Negara Selangor, hari ini.
Amirudin berkata, beliau berharap sekolah-sekolah swasta juga akan mengikut arahan berkenaan.
“Justeru, mulai esok semua sekolah-sekolah kebangsaan di Selangor, harian dan sekolah kelolaan di bawah Jabatan Agama Islam Negeri. Kita juga berharap sekolah-sekolah swasta juga berharap mengikut arahan ini,” katanya.
Dalam pada itu, penghantaran pulang pelajar yang berada di asrama akan dilakukan secara berperingkat mengikut ketetapan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN). – Malaysiapost

