JABATAN Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) akan melaksanakan Op Rentas bermula 10 Mei hingga 16 Mei ini di seluruh negara sempena Aidilfitri.
Operasi secara menyeluruh itu bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.
Pengarah JSPT, Datuk Azisman Alias, berkata walaupun aktiviti rentas negeri tidak dibenarkan seperti yang diumumkan sebelum ini, namun terdapat tiga situasi utama diberi pengecualian iaitu kecemasan, kematian dan pasangan jarak jauh selain pembukaan sektor ekonomi yang menyumbang kepada peningkatan trafik.
“Berdasarkan pemantauan, JSPT mendapati peningkatan aliran jumlah kenderaan di jalan-jalan utama dan juga lebuh raya.
“Dalam memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan pematuhan SOP, JSPT mengatur gerak petugas trafik bagi memantau lalu lintas Pra Op Rentas sepanjang tempoh perayaan ini bermula 3 Mei ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pelaksanaan Op Rentas secara menyeluruh pula bermula 10 hingga 16 Mei ini di seluruh negara dengan konsep penguatkuasaan sepenuhnya, menunjukkan kekuatan, perkhidmatan dan advokasi kepada masyarakat.
“Sasaran operasi adalah memandu di lorong kecemasan, melebihi had laju, memotong barisan, memotong garisan berkembar, tidak mematuhi lampu isyarat dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.
“Manakala operasi lain seperti Op Lancar, Op Motosikal, Op Samseng Jalanan dan sekatan jalan raya (SJR) turut diadakan bagi pemeriksaan pergerakan rentas negeri tanpa kebenaran,” katanya.
Azisman berkata, pelaksanaan Op Rentas turut meliputi lokasi yang dikenalpasti kerap berlaku kemalangan, kesesakan, persimpangan lampu isyarat dan pelanggaran SOP di kawasan tumpuan orang ramai.
“Seperti terminal bas/teksi, kawasan rehat dan rawat (R&R), bazar Ramadan/Aidilfitri, kompleks beli belah, sempadan negeri/daerah dan sepanjang lebuh raya.
“Ia melibatkan elemen JSPT, Jabatan-Jabatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lain-lain agensi,” katanya.
Beliau mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya mematuhi undang-undang dan peraturan lalu lintas serta SOP Covid-19 yang ditetapkan sepanjang musim perayaan ini. – Malaysiapost

