Audio Hamzah: PH buat laporan polis

0
3

PAKATAN Harapan (PH) hari ini membuat laporan polis berhubung pendedahan audio oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador baru-baru ini di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi.

Pengarah Komunikasi Strategik PKR, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, berkata pihaknya meminta polis menyiasat segera berkenaan dakwaan campur tangan menteri terbabit dalam Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Laporan ini dibuat bagi memohon polis melakukan siasatan mengenal pasti siapakah yang dimaksudkan oleh Abdul Hamid.

“Dan sama ada perkara-perkara yang dinyatakan itu benar-benar berlaku termasuk juga dakwaan terdapat individu naik jet peribadi ke Sabah dan selepas itu berlaku ‘lompat kotak’ dalam kalangan ahli politik di sana.

“Ini adalah perkara yang amat serius dan luahan dari mantan Ketua Polis Negara ini tidak boleh ambil lewa.. kita mohon Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin segera menyatakan pendirian beliau,” katanya.

Ini kerana katanya, Abdul Hamid sebelum ini menyatakan beliau telah membawa perkara itu kepada Perdana Menteri.

“Maka kami juga mohon Perdana Menteri memberi penjelasan adakah benar mantan KPN bertemu beliau dan apakah tindakan yang akan diambil terhadap individu yang dimaksudkan Abdul Hamid,” katanya.

Turut hadir, Ahli Parlimen Seputih, Teresa Kok; Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Tan Yee Kew dan Ahli Parlimen Lumut, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here