Pemilik Kelantan FC beli kelab bola sepak Indonesia

0
2

PEMILIK Kelantan FC, Norizam Tukiman atau lebih mesra dengan panggilan Zamsaham mengambil langkah berani melabur dalam industri bola sepak Indonesia dengan membeli kelab PSPS Riau.

Proses pengambilalihan kelab yang bermain di Divisyen 2 Liga Indonesia itu disempurnakan hari ini di Riau.

Berita mengenai perkara itu disahkan dan dikongsi oleh Zamsaham di laman Facebooknya selain turut dikongsi di media sosial rasmi PSPS Riau.

Menurut Zamsaham, hari ini menjadi sejarah hubungan bola sepak Kelantan FC dan PSPS Riau apabila kedua-duanya adalah pemilik yang sama dengan visi sama iaitu mengangkat pasukan ke tahap lebih berdaya saing.

“Alhamdulillah, selesai Majlis Pengambilalihan Pasukan Sepak Bola PSPS Riau yang turut dihadiri Kepala Dinas Pemuda dan Olahraga iaitu Bapak Boby dan disaksikan Konsulat Malaysia di Riau iaitu Puan Wan Nurshima Wan Jusoh,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata, langkah diambil itu adalah bertujuan memajukan kedua-dua kelab miliknya itu di masa depan.

“Saya adalah peminat bola sepak dan pelabur, saya melihat masa depan dan bukan mahukan keuntungan sekarang.

“Sekarang Kelantan FC boleh terus bekerjasama dengan team PSPS Riau kerana pemiliknya sama,” katanya.

Zamsaham turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu dan mendoakan supaya perjalanannya dalam industri bola sepak ini berjaya.

Sementara itu, dalam satu lagi hantaran beliau berkata, industri bola sepak Indonesia dijangka akan sehebat ekonomi negara itu menjelang 2024.

“Insya-Allah, itu sebab saya labur sekarang. Kita bina Kelantan FC dan PSPS Riau di bawah bumbung TRW,” katanya.

Peminat di Indonesia mengenali Zamsaham sebagai individu yang menyelamatkan Kelantan FC dari krisis kewangan yang telah membelenggu pasukan sejak sekian lama.

Rata-rata peminat PSPS juga berharap perkara sama dapat dilakukan pada PSPS kerana kelab itu sentiasa berdepan dengan isu tunggakan gaji.

Kedua-dua pasukan itu juga mempunyai gelaran seakan sama iaitu TRW (The Red Warriors dan The Riau Warriors). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here