ORANG ramai yang ingin memohon suntikan vaksin AstraZeneca dibenarkan untuk memilih satu tarikh janji temu dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) khas.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, proses pendaftaran secara sukarela dan terbuka bagi individu yang layak serta berumur 18 tahun ke atas bermula jam 12 tengah hari ini.
Menerusi ciapan di laman Twitter @Khairykj, beliau memuat naik paparan tangkap layar sistem pendaftaran melalui vaksincovid.gov.my untuk rujukan orang ramai.
“Anda akan lihat ini (paparan sistem). Pilih hanya satu tarikh janji temu dan PPV.
“Sekiranya tarikh janji temu sudah penuh dan bertukar menjadi warna kelabu, anda masih boleh memilihnya untuk diletakkan dalam senarai menunggu bagi tarikh dan PPV berkenaan,” tulisnya.
Khairy berkata, pemohon akan mendapat pemberitahuan mengenai tarikh janji temu suntikan vaksin menerusi notifikasi di aplikasi MySejahtera dan telefon.
“Anda akan diberitahu mengenai tarikh janji temu menerusi aplikasi MySejahtera, khidmat pesanan ringkas (SMS) atau panggilan telefon,” katanya.
Permohonan untuk mendapat vaksin AstraZeneca secara sukarela mula dibuka kepada masyarakat bermula 12 tengah hari, tadi.
Khairy menerusi kenyataan semalam memberitahu permohonan melalui laman web vaksincovid.gov.my itu hanya memerlukan pendaftaran dan dibenarkan untuk memilih tarikh serta Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang tersenarai.
Bagaimanapun, ia hanya terbuka kepada PPV di Kuala Lumpur dan Selangor, dan terhad kepada siapa yang cepat.
“PPV yang tersenarai ialah di Universiti Malaya, Universiti Kebangsaaan Malaysia, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, dan Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam,” katanya. – Malaysiapost

