ICU: 6 hospital lebihi ambang amaran

0
2

ENAM hospital yang mempunyai katil rawatan kritikal atau unit rawatan rapi (ICU) dikhususkan untuk pesakit Covid-19 didapati melebihi tahap ambang amaran.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata.ia berikutan kadar penggunaan katil di Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Ampang, Hospital Serdang, Hospital Selayang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, kini masing-masing melebihi tahap 70 peratus.

Katanya, malah apa yang membimbangkan apabila ada antara hospital berkenaan ketika ini menghampiri kadar kapasiti penggunaan katil 100 peratus.

“Menurut statistik dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), kadar penggunaan katil rawatan kritikal atau ICU Covid-19 terkini di Lembah Klang secara purata keseluruhan mencapai 90 peratus pada pagi ini.

“Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pula melaporkan penggunaan katil rawatan kritikal atau ICU Covid-19 pada kadar melebihi 50 peratus,” katanya dalam hantaran di laman Facebook, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sehubungan itu Hospital Sungai Buloh yang beroperasi sepenuhnya sebagai hospital Covid-19 akan meningkatkan kapasiti katil rawatan kritikal atau ICU secara berfasa bagi memenuhi peningkatan keperluan.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) membuat perolehan peralatan perubatan seperti ventilator sejak tahun lalu lagi bagi membolehkan Hospital Sungai Buloh meningkatkan kapasiti katil rawatan kritikal apabila wujud keperluan mendesak.

Berikutan peningkatan rawatan kritikal bagi pesakit Covid-19, beliau memberitahu pembedahan dan prosedur elektif di hospital sekitar Lembah Klang akan dikurangkan atau ditangguh bagi membolehkan lebih banyak katil hospital dikhususkan untuk rawatan Covid-19.

“Ini juga membolehkan anggota perubatan dimobilisasikan ke tempat-tempat yang lebih kritikal bagi perawatan pesakit Covid-19.

“KKM juga akan terus bekerjasama dengan hospital-hospital swasta, pengajar atau universiti di sekitar Lembah Klang bagi meningkatkan kapasiti katil-katil kritikal. Ini termasuk penyumberluaran pesakit bukan Covid-19 bagi kes dan prosedur tertentu untuk dirawat di hospital swasta dengan kos ditanggung oleh kerajaan pada caj rawatan yang telah dipersetujui.

“Penyumberluaran ini telah pun dilaksanakan sejak gelombang kedua pada tahun 2020 dan masih diteruskan sehingga kini,” kata beliau. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here