Isu pemberian motosikal, Dr Kamarul saman Guan Eng, Steven Sim

0
2

PENSYARAH Kanan Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff telah memulakan tindakan undang-undang terhadap dua pemimpin DAP serta seorang individu lain.

Ia berkaitan isu pemberian motosikal oleh Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim kepada seorang pemuda yang bekerja sebagai penghantar makanan, baru-baru ini.

Mereka ialah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Steven Sim dan bekas Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Noor Liyana Ahmad Marzuki.

Dr Kamarul Zaman yang juga penganalisis politik berkata saman terhadap Guan Eng dibuat berdasarkan kenyataan Ahli Parlimen Bagan itu yang disiarkan di tiga media.

Katanya, kenyataan berunsur fitnah dikeluarkan Guan Eng terhadapnya antara lain mendakwa:

(a) beliau memalukan kedudukan akademik saya dengan menulis di Harakah mempersoalkan motif Steven Sim membantu seorang Melayu Islam di kawasan Steven Sim sendiri;

(b)dengan jahat melabelkan Steven Sim sebagai mubaligh Kristian Cina walaupun Steven Sim tidak pernah menyampaikan khutbah di mana-mana gereja.

(c)membandingkan dengan secara tidak wajar pemberian sebuah motosikal oleh Steven Sim dengan pemberian sebuah motosikal oleh seorang Timbalan Menteri Melayu.

(d)membenci dan mencerca orang bukan Melayu atau bukan Islam membantu orang Melayu atau orang Islam dengan melabelkan mereka sebagai mubaligh Kristian Cina.

“Kenyataan-kenyataan berunsur fitnah yang dikeluarkan Steven Sim antaranya yang mendakwa saya:

(a)mengeluarkan cerita Steven Sim memberi bantuan motosikal untuk menyebarkan agama.

(b)menyatakan kedai (menjual motosikal) tidak boleh dikesan.

(c)menyebarkan fitnah bahawa penerima bantuan motosikal tidak boleh ditemui sedangkan saya atau orang parti saya sudah menemui dan berjumpa dengannya.

(d)mungkin tidak membayar RM2,000 kepada pemberi maklumat mengenai penerima bantuan motosikal.

(e)menawarkan RM2,000 ke atas kepala penerima bantuan motosikal bukan bertujuan untuk mencari kebenaran, tetapi hanya bertujuan untuk mencari peluang untuk menyerang beliau.

“Pihak yang ketiga adalah Noor Liyana yang telah pada 28 April 2021, mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mendakwa saya:

(a) mengeluarkan penulisan yang tidak mempunyai nilai ilmiah.

(b)memalukan seluruh profesion ahli akademik.

(c)perlu meninggalkan dunia akademik dan masuk politik.

(d)memuatnaik satu posting Facebook yang bertajuk “WAYANG OPERA CINA DAP SEKALI LAGI?” dan kemudian memadamkan posting Facebook ini setelah mendapati posting Facebook ini tidak benar.”

Dr Kamarul Zaman seterusnya berkata, beliau amat menyesali tindakan liar dan tidak bertanggungjawab pihak-pihak tertentu yang menggunakan teknik buli siber.

Ini dakwanya dengan mengarahkan tentera siber untuk menyerangnya dan tempat beliau bekerja dalam media sosial untuk cuba membunuh karakter serta menjatuhkan imej dan kedudukan di mata masyarakat.

“Negara kita sebuah negara yang mempunyai undang-undang dan sekiranya pihak-pihak tertentu ini menghormati prinsip kedaulatan undang-undang maka mereka sepatutnya menggunakan undang-undang negara bagi membuktikan kesalahan saya dan bagi menghukum saya jika saya melakukan apa-apa kesalahan seperti yang didakwa.

“Atas prinsip sama, bagi membersihkan diri dari pelbagai tuduhan dilemparkan ke atas saya dan tempat saya bekerja sehubungan dengan isu pemberian bantuan motosikal oleh Steven Sim, saya telah memulakan tindakan undang-undang ke atas tiga pihak yang memfitnah saya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here