KETUA Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengingatkan rakyat untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) apabila keadaan penularan Covid-19 di negara ini kembali meruncing.
Beliau meminta orang ramai kembali kepada amalan 3C iaitu jauhi kawasan sesak (crowded place), elakkan kawasan sempit (confined space) dan elak sembang dari jarak dekat (close conversation).
“Manakala amalan 3W adalah kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (wash), memakai pelitup muka di tempat awam (wear) dan peringatan KKM (warn) seperti elak bersalaman dan rawatan segera jika bergejala,” katanya menerusi hantaran di laman Twitternya.
Kes positif baharu Covid-19 hari ini mencatatkan 2,881 kes selepas tiga hari berturut-turut kes melebihi 3,000.
Selangor kekal merekodkan jumlah kes tertinggi iaitu 759 kes diikuti Sarawak (445) dan Kelantan (442). -Malaysiapost

