PEMUDA Umno menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera melakukan siasatan berhubung isu campur tangan politik dalam urusan pentadbiran Polis Diraja Malaysia (PDRM).
EXCO Pemuda Umno, Mustafa Shah Abdul Hamid, berkata pendedahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador itu merupakan satu ‘tempelak’ kepada seluruh institusi penguatkuasaan di negara termasuk parti pemerintah dan Bersatu.
Bagaimanapun, katanya, pendedahan individu nombor satu dalam PDRM itu disifatkan mengecewakan kerana Abdul Hamid memilih untuk merahsiakan perkara ini di awal pengetahuan namun membongkarkannya melalui sidang media setelah kontraknya tidak lagi disambung.
“Justeru, saya amat memandang serius terhadap perkara ini kerana ia memberi gambaran bahawa pemimpin Bersatu telah ‘mencengkam’ dan mempergunakan institusi penguatkuasaan demi kepentingan politik mereka sahaja.
“Kes rasuah seperti menawarkan pelbagai ganjaran termasuk wang ringgit dan jawatan langsung tidak disiasat serta didiamkan sahaja.
“Malah, kes mahkamah dan tuntutan cukai turut dijadikan ‘senjata’ Bersatu untuk memberi tekanan berterusan kepada pemimpin politik yang tidak sehaluan dengan mereka,” katanya menerusi Facebook.
Ketua Pemuda Kuala Kangsar itu berkata, beliau juga percaya bahawa amalan ini telah bermula sejak 2018 apabila Kerajaan Pakatan Harapan mula berkuasa dan kini disambung oleh Kerajaan Perikatan Nasional.
Sehubungan itu, katanya sekiranya perkara ini turut ‘didiamkan’ SPRM, maka terbuktilah bahawa agensi itu juga merupakan ‘kuda tunggangan’ politik parti memerintah yang digunakan untuk menjaga kepentingan sesetengah individu sahaja. – Malaysiapost

