Kepulangan pelajar universiti cetus kebimbangan

0
2

KEPUTUSAN Mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenar mahasiswa di universiti awam (UA) pulang ke rumah masing-masing bagi meraikan Aidilfitri mencetuskan kebimbangan pelbagai pihak.

Naib Presiden Mahasiswa Keadilan Malaysia, Firzan Hakimi, berkata keputusan itu menimbulkan persoalan apakah jaminan kerajaan mengenai risiko penularan wabak Covid-19 ke atas kepulangan pelajar-pelajar berkenaan, selepas melihat peningkatan mendadak kes harian.

“Keputusan membenarkan pelajar UA pulang ke kampung sudah pasti melegakan hati mahasiswa, tetapi melihat jumlah kes yang mencecah 3,788 kes Covid-19 semalam, situasi ini cukup membimbangkan.

“Apakah jaminan pihak kerajaan bahawa risiko terhadap jangkitan penularan wabak Covid-19 selepas kepulangan semula mereka ke kampus tidak terjejas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) perlu memberi jaminan mahasiswa yang pulang kembali ke kampus masing-masing bermula 15 Mei hingga 20 Mei ini terhindar daripada risiko dijangkiti wabak itu sebelum bertambah parah terutama bagi mereka yang pulang ke Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.

“Jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan semula terutama di negeri yang mencatatkan kes harian agak tinggi seperti Selangor dan Kelantan, maka pihak KPT perlu memutuskan apakah mekanisme dan garis panduan yang terbaik.

“Ini kerana tempoh keberadaan mahasiswa di kediaman masing-masing dalam jangka agak singkat, hanya dua minggu.

“KPT bersama-sama MKN dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu mengadakan sesi libat urus secara langsung dengan kadar segera berikutan kes harian yang meningkat secara mendadak supaya ketidakcekapan pihak KPT seperti sebelum ini tidak berulang kembali,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here