KETUA Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham terus meminta pasukan petugas barisan hadapan sentiasa mengikhlaskan hati dan membetulkan nawaitu dalam menjalankan tugas.
Menerusi status dimuat naik di Facebooknya hari ini, Dr Noor Hisham berkata, beliau berdoa semoga urusan petugas barisan hadapan dipermudahkan.
“Semoga dipermudahkan segala urusan. Inilah fardhu kifayah kita melaksanakan tanggungjawab bersama.
“Ikhlaskan hati, betulkan nawaitu dan semoga diberkati segala usaha dan pengorbanan kita. InshaAllah,” katanya.
Kenyataan Dr Noor Hisham itu sebagai respon hantaran Facebook rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai pengorbanan pasukan barisan hadapan oleh pengguna akaun, Ahmad Zulfahmi.
Ahmad Zulfahmi berkata, pasukan barisan hadapan bekerja siang dan malam tanpa kenal erti penat lelah demi untuk menyelamatkan nyawa rakyat.
Katanya, walaupun hari ini adalah hari pekerja pasukan barisan hadapan masih lagi bertugasdi PKD, hospital, MAEPS, PKRC demi memberikan khidmat kesihatan awam terbaik pada rakyat.
“Semoga semua frontliners KKM tabah dalam menghadapi pandemik Covid-19. Semoga Allah SWT terus beri kekuatan untuk semua. Amin,” tulisnya.
Dalam pada itu, dalam hantaran 28 April lalu, Ahmad Zulfahmi berkongsi tugas yang digalas Petugas Kesihatan dan Perubatan di Pejabat Kesihatan Daerah Kota Bharu.
“Pukul 3 pagi tuan-tuan. Terjelepuk kepenatan petugas kesihatan ini setelah menyempurnakan jenazah seorang kes positif Covid-19. Lelah. Mata meminta hak untuk lena.
“Mereka jarang sekali mengeluh.. Hanya sesekali mereka luahkan kepenatan mereka dengan rakan-rakan. Mereka tak merungut malahan berbangga mampu tunaikan hajat waris agar dipercepat dan dipermudah segala urusan pengebumian,” tulisnya.
Beliau berkata, petugas ini memujuk hati mereka dengan mengatakan inilah tuntutan fardu kifayah dan Qiyamullail mereka bukan di tikar sejadah.
“Mereka bangunkan malam ini dengan PPE dan aroma tanah kubur. Semoga Tuhan mengangkat pandemik ini selekasnya. Masyarakat penat dan kebosanan, begitu juga kami di lapangan yang kelelahan. Begitulah. Berkat Ramadan,” katanya. – Malaysiapost

