Polis guna dron pantau SOP bazar Ramadan

0
2

POLIS akan menggunakan dron untuk memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di bazar Ramadan dan Aidilfitri di sekitar Lembah Klang.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, dron PDRM berkenaan digunakan untuk memantau SOP dari udara kerana PDRM mengalami kesukaran untuk memantau SOP di kesemua bazar.

“Seperti diketahui agak sukar untuk memantau kehadiran pengunjung ke dalam sesebuah bazar yang pada malam kebiasaannya boleh mencecah 2,000 hingga 3,000 pengunjung.

“Jumlah itu bagaimanapun boleh mencecah lebih lagi dan polis yang mengoperasikan dron ini akan memastikan pengunjung yang hadir ke bazar-bazar berkenaan mematuhi SOP,” katanya dipetik Bernama semasa melawat Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, hari ini.

Acryl Sani berkata, penggunaan dron dalam masa sama mampu memberikan gambaran jelas sama ada penjarakan fizikal di sesetengah bazar dipatuhi atau sebaliknya.

Sementara itu, Ketua Unit Dron Pasukan Gerakan Udara PDRM, Supt Rasha Azaldin Shafii berkata pihaknya telah menggunakan dron untuk memantau pematuhan SOP di bazar-bazar sejak Khamis lalu.

Beliau berkata, beberapa pasukan unit dron akan dibahagikan untuk memantau beberapa bazar yang dikenal pasti di sekitar Lembah Klang.

“Kebiasaannya, kami akan memulakan penugasan unit dron di bazar selama 30 minit untuk memantau SOP. Pasukan saya akan mula menerbangkan dron pada waktu petang.

“Kami memantau SOP di bazar berdasarkan arahan Ketua Polis Daerah sekiranya perlu dan bukanlah setiap masa kami memantau,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here