DAKWAAN Ketua Polis Negara, Tan Sri Hamid Bador mengenai rasuah dengan budaya lompat parti dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN) disifatkan amat serius walaupun agak terlambat.
Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata perkara itu amat serius kerana ia didedahkan oleh Ketua Polis Negara.
“Ketua Polis Negara mengesahkan tanggapan umum bahawa Kerajaan PN hari ini banyak terpalit dengan pelbagai aktiviti jual-beli pemimpin politik untuk terus kekal berkuasa di kala rakyat sedang tenat bertarung nasib untuk kelangsungan hidup mereka seharian,” katanya dalam hantaran Facebook.
Asyraf Wajdi berkata, beliau menyifatkan pendedahan itu agak terlambat kerana Abdul Hamid hanya bersuara ketika pengakhiran kontrak beliau.
“Sedangkan rasuah yang terkait dengan lompat parti sudah bermula di zaman PH apabila ramai yang diugut dan ditekan dengan pelbagai kes mahkamah, cukai bahkan ditawar dengan pelbagai ganjaran untuk lompat parti menyertai Bersatu bagi perkukuh Kerajaan PH.
“Diteruskan pula di zaman PN apabila ramai disucikan daripada pendakwaan dan penyiasatan bahkan secara terang-terangan merealisasikan agenda ‘Scheme of Thing’ yang dikaitkan dengan audio pemimpin tertinggi Kerajaan PN dengan pelbagai tawaran kedudukan dan posisi penting kabinet dan GLC,” katanya.
Bagaimanapun, Asyraf Wajdi berkata, sebelum ‘Nasi Menjadi Bubur’ adalah wajar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan segera dan serius.
“Tindakan segera dab serius ‘without fear or favour’ bagi menyelamatkan negara daripada berterusan dirundung persepsi buruk bukan sahaja rakyat tetapi masyarakat antarabangsa betapa bobroknya budaya rasuah politik yang mampu menjahanamkan Malaysia tercinta,” katanya.
Semalam, Abdul Hamid menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan unsur rasuah berkaitan ahli politik lompat parti bagi mendapatkan habuan.
Beliau berkata, pihaknya memerangi rasuah dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), namun dalam politik rasuah berlaku di mana-mana.
“Saya lawan rasuah dalam pasukan, tapi saya tengok rasuah merata-rata dalam politik. (Pemimpin) mabuk kuasa dan membeli orang lain dan mengugut (yang enggan dibeli). Itu adalah rasuah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar terakhirnya di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman semalam dan menggesa SPRM harus tampil mengambil tindakan. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/04/30/kpn-katak-lompat-parti-ada-unsur-ugutan-rasuah/

