KPN: ‘Katak’ lompat parti ada unsur ugutan, rasuah

0
2

Aiman Hanif

KETUA Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mendedahkan perbuatan pemimpin politik lompat parti negara ini mempunyai unsur ugutan dan rasuah.

Secara sinis beliau menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat perkara itu dan tidak hanya tahu menyiasat pihak polis menerima rasuah.

Kata Abdul Hamid, beliau menentang rasuah dalam PDRM, namun pemimpin politik telah membudayakan rasuah.

“Saya lawan rasuah dalam pasukan, tapi saya tengok rasuah merata-rata dalam politik mabuk kuasa.

“Sekejap ‘katak’ melompat sana, sekejap berbunyi sana, apa itu? Rasuah.

“Saya minta SPRM masuk (siasat). Seolah-olah dalam negara kita tidak ada undang-undang,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Sidang media berkenaan diadakan tiga hari sebelum beliau tamat kontrak selaku Ketua Polis Negara.

Dalam sidang medianya Abdul Hamid secara terbuka mengkritik Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang campur tangan dalam soal PDRM.

Sebelum ini beberapa pemimpin politik pembangkang bertindak melompat parti dengan menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Pada 13 Mac lalu, bekas Naib Presiden PKR Xavier Jayakumar menjadi ahli Parlimen terbaru meninggalkan parti itu dan menyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Ahli Parlimen Kuala Langat yang sudah bersama PKR sejak 1998 itu berkata “sangat kecewa” dengan peristiwa-peristiwa yang berlaku tahun-tahun kebelakangan ini.

“Keutamaan kita pada ketika ini seharusnya menyokong kerajaan untuk membendung pandemik Covid-19, mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan hasil untuk membangunkan semula ekonomi.

“Ia akan mengambil masa sekurang-kurangnya 18 bulan untuk melengkapkan program pemvaksinan dan lebih dari dua tahun untuk ekonomi kembali pulih,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Abdul Hamidi turut mempersoalkan dari mana sumber diperolehi bagi seseorang ahli politik menggunakan ‘private jet’.

Dia bagaimanapun tidak menamakan pemimpin politik berkenaan.

“Mana dapat duit naik ‘private jet’. Kita minta SPRM siasat orang-orang politik,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here