PKP 5 daerah di Kedah

0
2

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di lima daerah di Kedah manakala dua PKP Diperketatkan (PKPD) di Sabah dan satu di Sarawak bermula esok hingga 14 Mei ini. 

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, PKP dilaksanakan di kelima-lima daerah di Kedah selepas berlaku penularan jangkitan melibatkan beberapa kluster yang menyumbang kepada peningkatan kes di mukim, daerah atau zon. 

Daerah yang terlibat adalah Kota Setar, Kuala Muda, Bandar Baharu, Baling dan Kulim. 

“Dalam tempoh 14 hari sehingga 29 April 2021, Kementerian Kesihatan (KMM) mengesahkan sebanyak 709 kes aktif telah direkodkan di kelima-lima daerah tersebut. 

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKP di lima daerah tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Sementara itu, beliau berkata, PKPD dilaksanakan di Kampung Skim Cocos, Kunak, Sabah bermula esok.  

Sehingga kini, katanya, KKM telah melakukan 186 ujian saringan dan lapan daripadanya disahkan positif Covid-19.  

“KKM mengesahkan berlaku kenaikan kes secara mendadak dalam tempoh seminggu serta kadar kebolehjangkitan adalah tinggi di lokaliti ini,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, pelaksanaan PKPD di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Madai, Kunak, Sabah bermula esok. 

Menurutnya, KKM merekodkan 18 kes positif Covid-19 hasil daripada 185 ujian saringan ke atas penghuni sekolah dan penduduk di lokaliti tersebut. 

“Malah, KKM memaklumkan berlaku kenaikan kes secara mendadak dalam tempoh seminggu dan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi di lokaliti ini,” katanya.

Tambahnya, PKPD juga dilaksanakan di Kampung Sagah, Jalan Sungai Tengah Matang, Kuching, Sarawak bermula esok. 

“Sehingga kini, KKM merekodkan 17 kes positif Covid-19 hasil daripada keseluruhan 148 ujian saringan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here