PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tiga lokaliti di Sabah dan satu di kawasan di Sarawak serta Melaka ditamatkan mulai esok.
Sementara itu, masing-masing satu lokaliti di Sabah dan Sarawak iaitu di Kampung Simpang 3A, Merotai Besar, Tawau, Sabah serta Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuching dan Kuarters Kakitangan, Sarawak ditamatkan PKPD, hari ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan sebelum ini telah melaksanakan PKPD di dua lokaliti iaitu Taman Tawau Lama dan Kampung Batu Payung, Tawau, Sabah yang dijadualkan tamat pada 30 April 2021.
Sehingga kini, katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan 23 ujian saringan di Taman Tawau Lama dan 13 daripadanya positif Covid-19.
“Manakala 14 kes positif direkodkan di Kampung Batu Payung hasil daripada 43 ujian saringan dilakukan.
“KKM mengesahkan kes telah menurun dan kluster terkawal di dua lokaliti ini manakala semua kes positif telah diasingkan dan dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di kawasan terbabit pada 30 April 2021, seperti yang dijadualkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, bagi penamatan PKPD Kampung Baru Pasir Putih, Tawau, Sabah pula sepatutnya yang dijadualkan tamat pada 12 Mei 2021, namun lebih awal dari dijangka kerana terdapat penurunan kes serta kluster adalah terkawal.
“KKM telah melaksanakan 847 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 23 kes positif Covid-19 direkodkan.
“KKM mengesahkan kesemua sampel saringan yang sedang menunggu keputusan sebelum ini didapati negatif dan terdapat penurunan kes serta kluster adalah terkawal.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di Kampung Baru Pasir Putih, Tawau, Sabah pada 30 April 2021 lebih awal daripada yang dijadualkan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan penamatan PKPD Sungai Passin, Matu, Mukah, Sarawak esok, lebih awal dari dijadualkan iaitu pada 8 Mei 2021.
Menurutnya, KKM telah mengesahkan trend kes telah menurun dan semua kontak rapat telah dikenal pasti dan diasingkan di pusat kuarantin yang disediakan.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di Sungai Passin, Matu, Mukah, Sarawak pada 30 April 2021, lebih awal daripada yang dijadualkan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, bagi PKPD di Kampung Simpang 3A, Merotai Besar, Tawau, Sabah ditamatkan hari ini.
“KKM mengesahkan trend kes telah menurun dan semua kes positif telah diasingkan dan dimasukkan ke pusat kuarantin.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di Kampung Simpang 3A, Merotai Besar, Tawau, Sabah, pada 29 April 2021, seperti yang dijadualkan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan PKPD di PULAPOL Kuching dan Kuarters Kakitangan, Sarawak ditamatkan hari ini.
Katanya, KKM melaporkan terdapat penurunan kes dan kluster adalah terkawal.
“Manakala, kesemua kes positif telah diasingkan dan dimasukkan ke PKRC serta kontak rapat diasingkan dan dipantau sehingga hari ke-14.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di PULAPOL Kuching dan Kuarters Kakitangan, Sarawak pada 29 April 2021 seperti yang dijadualkan,” katanya.
Beliau berkata, bagi penamatan PKPD di Sekolah Henry Gurney, Telok Mas, Melaka dilaksanakan esok.
“KKM mengesahkan trend kes telah menurun dan kluster terkawal manakala penghuni bergejala telah diasingkan dengan segera ke blok kuarantin.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di Sekolah Henry Gurney, Telok Mas, Melaka pada 30 April 2021, seperti yang dijadualkan,” katanya. -Malaysiapost

