Ronnie Liu cadang DAP, PKR dan Amanah tubuh parti berbilang kaum terbesar

0
3


DAP perlu bergabung dengan PKR dan Amanah untuk mewujudkan sebuah parti berbilang kaum terbesar.

Perkara itu dicadangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Pelek, Ronnie Liu dengan menyatakan ia akan membentuk gabungan mantap yang  mempunyai lebih ramai wakil rakyat.

“Ketiga-tiganya perlu dibubarkan dan bergabung menjadi sebuah parti pluralistik dengan pandangan progresif.

“Saya sangat berharap suatu hari nanti Pakatan Harapan akan menjadi sebuah parti tunggal yang besar dan bukannya gabungan,” kata Liu dipetik Malaysiakini.

Mengulas lanjut, Liu berkata, beliau percaya kepada visi parti berbilang kaum dan DAP yang selama ini dikritik sebagai parti cauvinis Cina perlu berubah daripada kedudukannya sekarang.

“DAP perlu ‘overhaul’ atau ia akan mati perlahan-perlahan,” katanya.

Bagaimanapun Liu berkata, niatnya itu pernah diputarbelitkan apabila dia dikatakan mahu menghancurkan DAP dan tunduk kepada PKR.

“Sebab untuk membubarkan menjadi satu parti adalah kerana setiap parti boleh membuang beban sebelumnya dan berada di bawah jenama baru.

“DAP telah dituduh sebagai anti-Islam, PKR sebagai kenderaan Anwar (Ibrahim) sahaja dan ada yang mengatakan Amanah sebagai ikan bilis.

“Tapi jika kita boleh bergabung dengan ikhlas, gabungan parti ini boleh menjadi kuasa yang kuat,” tambah Liu.

Terdahulu dilaporkan, Liu dan pemimpin kanan DAP terlibat dalam perang mulut dengan Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang dengan mendakwa wujud ancaman luar terhadap parti itu di tengah bahang pemilihan yang sedang berlangsung.

DAP memiliki 42 Ahli Parlimen manakala PKR (35) dan Amanah (11). – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here