Pemuda Umno tawar bantuan guaman kepada peniaga colek

0
2

PEMUDA Umno menawarkan bantuan khidmat nasihat dan guaman percuma kepada Mohd Azizi Mohd Nor dan isteri, Nik Nawati Nik Lah, peniaga colek yang dikenakan kompaun RM50,000 atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata peguam dilantik bagi memudahkan uruscara rayuan pengurangan kompaun kepada Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan memandangkan Mohd Azizi tidak mampu untuk membayar jumlah sebanyak itu.

“Exco Pemuda Umno merangkap Ketua Sekretariat Peguam Muda dan Perundangan Nik Saiful Adli Burhan (Tetuan Irmohizam Rosley & Nik Adli) dan Tn Azwan Mat Hussain (Tetuan Rafizah Azwan & Associates) hari ini menerima kehadiran Mohd Azizi Mohd Nor dan isteri, Nik Nawati Nik Lah bagi membincangkan perincian berkaitan kompaun RM50,000 yang dikenakan semalam.

“Kelmarin sahabat saya Ketua Pemuda Umno Pengkalan Chepa Saudara Fareez Amran telah dihubungi kedua pasangan suami isteri malang ini untuk mendapatkan khidmat nasihat dan guaman percuma yang disediakan Pergerakan Pemuda Umno,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Asyraf Wajdi berkata, pihak peguam mendapatkan maklumat berkenaan kejadian sebenar dan telah meneliti setiap aspek pembelaan.

Katanya, ada kemungkinan terdapat salah faham oleh pihak berkuasa yang mengeluarkan kompaun apabila menganggap anak-anak peniaga yang makan di meja selepas kedai ditutup sebagai pelanggan.

“Peguam akan menyediakan representasi bagi pihak peniaga ini untuk memohon pertimbangan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan menarik balik Notis Kompaun atas sekurang-kurangnya menyiasat kes ini dengan teliti sebelum membuat keputusan untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya lagi.

Beliau berkata, Pemuda Umno berpendirian, pihak berkuasa seharusnya menggunakan pertimbangan dan budi bicara dalam melaksanakan undang-undang di bawah Ordinan Darurat.

“Ini termasuk mengambil kira situasi dan kondisi rakyat yang hakikatnya susah dan resah berjuang untuk kelangsungan hidup.

“Dalam suasana pandemik Covid-19 yang benar-benar menekan situasi ekonomi rakyat ketika ini, prinsip keadilan yang disulami dengan nilai ihsan mesti menjadi asas dalam menguatkuasakan apa jua bentuk perundangan dan peraturan,” katanya.

Terdahulu, Mohd Azizi, peniaga colek di Kampung Chekok Tengah, Kota Bharu dikenakan kompaun RM50,000 kerana beroperasi lebih masa.

Menurut Mohd Azizi, tanpa bertanyakan maklumat lanjut terhadap dia dan isterinya, anggota polis berkenaan terus menulis kompaun dengan jumlah RM50,000 bagi kesalahan beroperasi lebih masa.

Katanya, ketika kejadian dia mengemas dapur kerana kedai sudah ditutup dan pada masa sama sedang menggoreng keropok untuk anak-anak. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/04/27/dikompaun-rm50000-peniaga-colek-akui-tak-mampu-rela-masuk-penjara/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here