Nurul Huda Abhar
PEPATAH ‘ada otak tapi letak di lutut’ didakwa amat sesuai menggambarkan tindakan tidak berperikemanusian sanggup mengenakan kompaun RM50,000 kepada peniaga kecil atas alasan mereka melanggar prosedur operasi standard (SOP).
Kemarahan netizen semakin memuncak apabila selebriti Neelofa dan keluarganya, juga didapati bersalah melanggar SOP semasa majlis pernikahan beliau dikenakan kompaun RM60,000.
Sehinggakan topik perbualan di mana ‘otak’ si pengeluar kompaun disebut oleh pembaca berita dalam sedutan Berita Awani 7.45 baru-baru ini.
“Ketika otak letaknya di atas, tetapi ada yang bertindak seolah otak dilutut…” ayat padu yang diungkapkan pembaca berita itu sudah cukup menggambarkan api kemarahan dalam hati netizen.
Video tersebut tular di media sosial, rata-rata netizen bersetuju dengan luahan pembaca berita itu yang dikatakan ‘sungguh makan dalam’.
Persoalan yang timbul apabila wujud ‘double standard’ dalam pelaksanaan undang-undang antara rakyat marhaen dan orang ternama (VVIP).
Lihat sahaja isu ‘instafamous’ dan suaminya baru-baru ini yang dijatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM2,500 mengaku bersalah memberi maklumat palsu bagi mendapatkan kebenaran rentas negeri untuk berbulan madu.
Tetapi apabila melibatkan nama Neelofa, kesalahan tersebut ‘dipusing’ dengan alasan urusan kerja dan pembukaan cawangan baharu sebuah produk minuman.
Semua alasan-alasan yang berselindung disebalik ‘urusan kerja’ atau ‘VVIP’ membuat rakyat cukup jelek dengan pelaksanaan undang-undang kini.
Netizen mempersoalkan di mana simpati kerajaan sehinggakan sanggup mengenakan kompaun RM50,000 kepada peniaga burger kecil.
Malah, lebih menyedihkan ada peniaga sanggup menawarkan kedai runcitnya sebagai ganti kerana tidak mampu membayar jumlah denda RM50,000.
Jadi, situasi ini benar-benar menggambarkan ayat ‘ada otak tapi letak di lutut’ yang disebut-sebut netizen. – Malaysiapost

