Bukan isu terpencil, tindakan tegas wajar terhadap guru jenaka rogol

0
4

PERBUATAN seorang guru membuat lawak berkaitan rogol tidak boleh dianggap isu terpencil oleh Kementerian Pendidikan (KPM), kata Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Malah bekas Menteri Pendidikan itu menggesa tindakan tegas ke atas guru tersebut jika terbukti ia benar berlaku.

Apa yang dikesalkan, Mahdzir berkata, membuat lawak rogol ketika sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas boleh disifatkan sebagai tidak profesional dan memalukan profession guru.

“Sebagai bekas pengetua sekolah dan bekas Menteri Pendidikan, saya merasakan perkara itu memalukan institusi perguruan di negara ini.

“Dalam apa jua situasi sekalipun, perkara itu tidak seharusnya dijadikan bahan untuk berlawak kerana rogol itu sendiri adalah perbuatan jenayah yang sama sekali tidak wajar dipromosikan lebih-lebih lagi oleh seorang bernama guru,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen Padang Terap itu menegaskan, jenayah rogol sepatutnya digunakan oleh seorang guru untuk mendidik anak muridnya menjauhi perbuatan itu dan bukannya dijadikan sebagai bahan satira atau jenaka.

“Bagi saya, ini juga berkaitan dengan akhlak seorang guru. Kita bukan nak mengambil pendekatan menghukum akhlak keseluruhan guru-guru di Malaysia, tetapi kesedaran mengenai batasan percakapan itu perlu ada dalam diri setiap guru agar semua anak murid di dalam kelas tidak merasa terganggu emosi mereka dengan akhlak dan perlakuan guru mereka.

“Ini bagi saya amat penting untuk kita faham,” katanya sambil menggesa KPM segera menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut garis panduan dan peraturan.

Terdahulu media melaporkan, seorang pelajar perempuan sebuah sekolah di Kuala Selangor mendakwa, seorang guru lelaki membuat jenaka mengenai rogol ketika dalam kelas sehingga mencetuskan kemarahan di media sosial.

Menurut pelajar berkenaan, guru terbabit bercakap mengenai jenayah rogol itu ketika berbincang topik berkaitan gangguan seksual semasa kelas pendidikan jasmani dan kesihatan di sekolahnya.

“Pelajar perempuan yang tidak berpuas hati meluahkan perasaanya menerusi satu klip video di platform media sosial TikTok, yang kemudiannya diciap di Twitter. – Malaysiapost.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here