Umno Arau tolak pelantikan Azlan ganti Shahidan

0
2

UMNO Bahagian Arau hari ini menolak pelantikan Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis yang baharu.

Timbalan Ketua Umno Arau, Salim Dahaman, berkata pihaknya sukar bekerjasama dengan Azlan yang didakwa tidak berusaha mahupun memberi bantuan untuk memperkasakan Umno Perlis sebelum ini.

“Jika beliau (Azlan) sebagai Menteri Besar memang sudah menjalinkan kerjasama dari awal lagi dengan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis terdahulu (Datuk Seri Shahidan Kassim), kami boleh terima.

“Bagaimanapun, beliau tidak mahu pun bekerjasama dengan Pengerusi terdahulu. Justeru, bagaimana kami hendak bekerjasama dengan beliau?

“Setiap kali mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Perlis pula, beliau bukannya mahu hadir,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Semalam, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengumumkan Azlan dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis yang baharu untuk menggantikan Shahidan, berkuat kuasa serta-merta.

Dalam pada itu, Salim menegaskan, Umno Bahagian Arau berharap Ahmad Zahid akan mempertimbangkan semula keputusan berkenaan.

“Malah jika dilihat dari segi rekod pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, Umno Bahagian Arau dan Padang Besar mencatat keputusan cemerlang.

“Umno Bahagian Kangar bawah Azlan sebaliknya pula mengalami kekalahan dengan tiga kerusi, termasuk Parlimen Kangar, jatuh ke tangan pembangkang.

“Selain itu, pengalaman dan usaha Shahidan mendekati rakyat dalam menjaga kebajikan rakyat negeri ini telah menjadi lambang kekuatan Umno Perlis selama ini,” katanya.

Salim menjelaskan, pihaknya bagaimanapun tidak akan meninggalkan Umno, malah berkeyakinan bahawa Shahidan juga akan terus bersama parti itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here