PRN Sabah: Selesai segera isu provokasi Filipina

0
2

Awang Abdullah

Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) mendesak kerajaan Perikatan Nasional (PN) menyelesaikan segera isu tindakan Filipina memasukkan Sabah dalam peta negara itu.

Pengarah Komunikasinya, Khairuddin Daud, berkata jika tidak, PN dianggap gagal dalam mempertahankan kedaulatan dan hak Sabah.

Jelasnya, Kementerian Luar bertanggungjawab sepenuhnya dalam menyelesaikan isu berkenaan dan memastikan Filipina menghentikan provokasi seumpama itu.

“Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal juga telah menggesa Wisma Putra segera memanggil Duta Filipina untuk memberi amaran keras berhubung tindakan negara itu.

“Maka Pemuda Amanah menegaskan, Kementerian Luar di bawah PN mesti menyelesaikan isu ini. Jika tidak, PN ternyata gagal mempertahankan hak Sabah seperti dinyatakan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas kenyataan Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negara Filipina yang membenarkan cetakan peta Filipina meliputi kawasan 320 kilometer Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) dan Sabah di dalam pasport negara itu.

Khairuddin berkata, kenyataan seperti itu bersifat provokasi dan mencemarkan kedaulatan Sabah sebagai rakan kongsi membentuk Malaysia seperti termaktub dalam MA63.

“Berdasarkan MA63, Sabah sepatutnya mendapat hak keselamatan dan perlindungan dari persekutuan.

“Oleh itu Wisma Putra tidak boleh berlembut, sebaliknya harus mengambil pendirian tegas dengan memberi amaran kepada Filipina bahawa tindakan itu akan menjejaskan hubungan diplomasi antara negara.

“Filipina tidak mempunyai asas, sejarah, perundangan dalam menuntut Sabah sebagai sebahagian daripada negara itu. Sebaliknya Sabah adalah sebuah wilayah yang merdeka dan berdaulat,” katanya.

Tambahnya, sebagai negara anggota Asean, Filipina juga menandatangani Deklarasi Zon Damai, Bebas, Dan Berkecuali (ZOPFAN) serta Perjanjian Amiti dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC).

Sehubungan itu, katanya tindakan Filipina yang mengeluarkan kenyataan secara unilateral adalah tmembelakangi semangat Asean.

Atas alasan itu, katanya Asean juga tidak boleh berdiam diri tanpa sebarang teguran terhadap tindakan Filipina itu. – Malaysia Post