REKOD tanpa kalah Johor Darul Ta’zim (JDT) lebur di tangan Terengganu FC apabila pasukan gergasi tanah air itu tunduk 0-1 pada aksi Liga Super di Stadium Ibrahim, di Johor, malam tadi.
Ini adalah kekalahan pertama JDT dalam aksi Liga Super pada musim ini sekali gus menamatkan rekod 21 perlawanan tanpa sebarang kekalahan.
Sebaik sahaja wisel penamat ditiupkan, skuad Penyu menangis kegembiraan apabila mencipta sejarah sebagai pasukan pertama menewaskan penyandang juara musim ini.
Kemenangan tersebut membolehkan Terengganu FC merapatkan jurang dengan skuad Harimau Selatan dengan mengutip 21 mata selepas 10 perlawanan, dua mata di belakang JDT di persada liga.
Aksi babak pertama agak seimbang dengan kedua belah pihak saling berbalas serangan dan sering kali mengasak ke kubu lawan bagi mencari gol pembukaan.
Bagaimanapun, JDT yang dikendali Benjamin Mora buntu mencari gol awal tidak seperti kebiasaannya sering agresif merobek gawang pasukan lawan di awal permainan.
Jentera serangan skuad Harimau Selatan itu diketuai Bergson Da Silva dan Gonzalo Cabrera dilihat tumpul pada separuh masa pertama apabila tidak ada percubaan berbahaya mengancam gawang lawan sehinggakan penjaga gol Terengganu FC Suhaimi Husin tampak selesa mengawasi pintu golnya.
Pasukan bimbingan Nafuzi Mahammad Zain itu akhirnya berjaya memecahkan kebuntuan pada minit ke-56 menerusi jaringan pemain pertahanan, Hakimi Abdullah.
Hakimi bijak mencuri peluang hasil kesilapan pemain pertahanan, Adam Nor Azlin yang membuat ‘clearance’ namun terkena rakan sepasukan Natxo Insa.
Ibarat Harimau yang kesakitan, JDT bingkas bangkit dan menggandakan asakan untuk mencari gol penyamaan.
Bergson yang menjadi mesin peledak gol dalam setiap perlawanan JDT sebelum ini kelihatan tidak bermaya apabila Terengganu FC mengamalkan taktikal ‘parking bus’ dalam mempertahankan kelebihan jaringan yang dimiliki.
Safawi Rasid, Ramadhan Saifullah Usman dan Akhyar Rashid yang dibawa masuk gagal menyelamatkan maruah JDT yang akhirnya membuatkan Sang Penyu pulang senyum ke Terengganu sambil melihat Harimau terluka di gelanggang sendiri. – Malaysiapost
Foto kredit : JOHOR Southern Tiger fb

