Nurul Huda Abhar
DATUK Seri Shahidan Kassim memaklumkan hanya mengetahui perihal pelucutan jawatannya sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Perlis menerusi kenyataan media Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Menurutnya, beliau tidak diberitahu berkaitan pelucutan jawatan itu daripada mana-mana pihak kecuali selepas kenyataan media dikeluarkan hari ini.
“Saya tidak dapat maklumat apa-apa. Cuma tahu dari kenyataan media. Hak melantik pengerusi perhubungan ini hak Presiden. Tiada masalah beliau nak melantik sesiapa pun pada pertimbangan beliau.
“Saya balik ke Kuala Lumpur ini kerana esok ada mesyuarat Pengerusi-pengerusi Perhubungan dan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT).
“Kalau ikut makluman kenyataan media itu, saya tidak boleh hadir mesyuarat esok. Tidak mengapa, tiada masalah. Yang penting program kebajikan saya sepanjang bulan Ramadan tidak berubah,” katanya pada sidang media yang disiarkan secara langsung dalam talian, malam ini.
Shahidan yang mesra dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah dilucutkan jawatan Pengerusi Perhubungan Umno Perlis berkuatkuasa serta merta, hari ini.
Menerusi kenyataan Umno pusat, jawatan Pengerusi Perhubungan Umno Perlis telah digalas oleh Datuk Seri Azlan Man yang juga Menteri Besar Perlis.
Dipercayai, tindakan penukaran itu ada kaitan dengan mesyuarat MKT Umno yang bakal diadakan esok.
Sementara itu, Shahidan menegaskan pendiriannya iaitu mana-mana pemimpin Umno yang melanggar keputusan parti hendaklah dikenakan tindakan displin.
Beliau juga memberitahu, wujud gerakan menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa di Parlimen baru-baru ini.
“Terutama berhubung dengan usaha untuk menyokong Anwar. Insya-Allah selepas Raya Aidilfitri, saya akan keluar kenyataan berhubung gerakan mengambil tanda tangan menyokong Anwar yang dibuat dengan agak dashyat semasa di Parlimen baru-baru ini, tetapi tidak berjaya untuk mengambil jumlah yang tertentu.
“Saya menyimpan benda itu sebab ingin menjaga aib kawan-kawan, tapi kalau keputusan parti untuk sokong Anwar, maka kita sokonglah. Tapi parti kata “No Anwar, No DAP,” kata beliau. – Malaysiapost
Artikel berkaitan :

