Muhammad Mustakim Ramli
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mendapatkan senarai 101 projek daripada Kementerian Kewangan yang dikatakan diberi secara runding terus semasa pemerintah kerajaan terdahulu.
Menerusi kenyataan, SPRM berkata, satu kajian menyeluruh akan dibuat bagi menentukan sama ada wujud unsur-unsur rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa berhubung perkara ini.
“Sehubungan itu, SPRM menggesa semua pihak untuk memberikan ruang kepada suruhanjaya ini untuk meneliti perkara berkenaan,” kata kenyataan itu.
SPRM juga mengesahkan telah menerima beberapa memorandum daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini berhubung isu pemberian 101 projek atau perolehan kerajaan bernilai RM6.61 bilion secara rundingan terus.
Semalam, ketika sidang parlimen, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mendedahkan sebanyak 101 projek membabitkan nilai RM6.61 bilion dibuat secara rundingan terus ketika Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara. – Malaysia Post

