Projek rundingan terus era PH tak salah- Guan Eng

0
2

Aiman Hanif

[Parlimen] SELEPAS pendedahan Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berhubung projek rundingan terus, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dilihat cuba mengalih perhatian dengan mendedahkan projek “direct nego” pada zaman BN.

Beliau yang tidak menafikan pendedahan itu mendakwa apa yang dilakukannya tidak bercanggah dengan undang-undang dan janji terkandung dalam Manifesto Pakatan Harapan (PH).

“Saya hanya lulus, serah kepada kementerian untuk laksanakan. Kenapa tiba-tiba jadi isu. Ia tak langgar janji (manifesto) PH, kita masih cakap serupa bikin,” katanya.

“Perdana Menteri sendiri semasa menjadi Menteri Dalam Negeri PH dan ‘menteri- menteri pengkhianat’ yang lain pun ada memohon projek rundingan terus daripada saya sebagai Menteri Kewangan.

“Adakah Perdana Menteri PN juga bersalah jika beliau memohon projek rundingan terus pada masa itu,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Pada sidang media itu, Guan Eng turut menyenaraikan 12 projek “direct nego” yang diluluskan ketika era pentadbiran BN.

Beliau juga mendakwa Janji 23 manifesto PH yang menyebut: “Kami akan memastikan sistem tender terbuka digunakan dengan meluas dan telus, terutamanya untuk projek-projek besar”.

“Jelas di sini, tidak disebut bahawa tidak boleh menggunakan kaedah rundingan terus dalam keadaan tertentu,” katanya lagi.

Semalam Menteri Kewangan di Dewan Rakyat sejumlah 101 projek rundingan terus bernilai RM6.61 bilion diluluskan oleh kementerian tersebut sewaktu pentadbiran kerajaan PH.

Pendedahan itu menimbulkan kekecohan di Dewan Rakyat.

Pemimpin PN kemudiannya tampil mengkritik DAP yang dilihat telah melanggar janji mereka sendiri yang terkandung dalam manifesto.

Sementara itu, Guan Eng mendakwa pendedahan isu berkenaan sekadar usaha PN untuk mengalihkan isu dua darjat membabitkan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Khairuddin Aman Razali yang ingkar peraturan kuarantin.

“Dan dikompaun ‘manja’ hanya RM1,000 sedangkan mak cik warga emas berumur 72 tahun dihadapkan ke mahkamah dan didenda RM8,000 serta penjara satu hari,” katanya lagi. – Malaysiapost