Filem ’18 Puasa Di Kampung Pisang’ ditegur, buka ruang persenda agama

0
3

FILEM arahan Mamat Khalid, ’18 Puasa Di Kampung Pisang’ yang berjaya mencatat kutipan RM2 juta selepas enam hari tayangannya, menerima teguran daripada pendakwah.

Penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah, Dr Nur Mohammad Hadi Zahalan, berkata walaupun tujuan penghasilan filem berkenaan baik iaitu bagi menyedarkan umat Islam mengenai seksa jika melanggar perintah Allah SWT, namun ada beberapa perkara yang perlu diambil perhatian oleh pihak produksi.

Katanya, teguran itu perlu diambil perhatian oleh syarikat produksi filem untu mengelakkan daripada melakukan sesuatu perkara yang bercanggah dengan al-Quran dan Sunnah.

“Baru-baru ini terdapat sebuah filem berjudul Puasa 18 di Kampong Pisang yang mana skrip dan babak lakonan menggambarkan keadaan di dalam neraka.

“Tujuannya adalah untuk memberitahu bagaimana mereka diseksa kerana melanggar perintah Allah,” katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata, antara perkara yang timbul dalam filem itu ialah bagaimana syaitan boleh bersuka ria di dalam neraka sedangkan mereka makhluk yang dilaknat.

“Siap boleh tour dalam neraka. Dalam cerita itu syaitan yang bertanduk meyeksa manusia. Sedangkan tugas untuk meyeksa adalah tugas malaikat Zabaniah.

“Ada dalam watak tu seseorang yang berupa khinzir yang diminta oleh syaitan untuk meyeksa sedangkan rupa Malaikat Zabaniah bukan seperti itu,” katanya.

Beliau berkata, Islam melarang melakonkan adegan syurga dan neraka adalah kerana tidak ada seorang pun di kalangan manusia yang mengetahui keadaan sebenar tempat berkenaan melainkan Rasulullah SAW.

“Oleh yang demikian bagaimana seseorang boleh melakonkan apa yang mereka tidak ketahui. Ia akan membuka ruang kepada orang yang suka mempersendakan agama dengan mengatakan kalau sebeginilah neraka yang dilakonkan maka tidak menjadi masalah untuk mereka masuk ke dalamnya.

“Akan hilanglah rasa kegerunan di dalam hati seseorang apabila melihat neraka yang dilakonkan tidak sama seperti yang digambarkan oleh Allah dan Baginda Rasulullah,” katanya.

Mengulas lanjut, Nur Mohammad berkata, jika dilihat apa yang berlaku dalam filem tersebut maka apa yang boleh disimpulkan ialah pintu fitnah lebih besar daripada pintu kebaikan yang ingin disampaikan.

“Ingatlah pesan Baginda Rasulullah kepada kita, sabda Baginda Rasulullah: Demi Dia yang nyawa Muhammad ada pada tangan-Nya, jika kalian melihat apa yang aku lihat, nescaya kalian akan kurang ketawa, dan banyak menangis.

“Para sahabat bertanya: Apakah yang kau lihat itu wahai Rasulullah?. Baginda menjawab: Aku melihat syurga dan neraka. – [HR Muslim 426],” katanya.

Mengakhiri tulisannya, Nu Mohammad berkata teguran berkenaan bukan kerana benci sebaliknya ia dilakukan demi kebaikan bersama.

Baru- baru ini, media melaporkan filem itu berjaya mencatat kutipan RM2 juta selepas enam hari tayangan di saluran Astro First.

Jika sebelum ini watak Barboka menjadi bualan penonton, memasuki minggu kedua tayangan, watak baharu yang diperkenalkan dalam francais tersebut, iaitu Tyson 2 lakonan Jaafar Onn turut menambat hati penonton menerusi dialognya ‘Mim Alif Kap Nun = Mati’ dalam salah satu babak filem berkenaan.

Watak itu juga kemunculan semula pelakon senior itu selepas lama tidak muncul dalam filem dan drama. Di laman media sosial, ramai yang berkongsi rasa terkesan dengan mesej yang disampaikan selepas menonton filem komedi penuh mesej itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here