Pemeriksaan datang bulan: satu tindakan yang melampau – Noraini Ahmad

0
3

WANITA Umno menggesa pihak bertanggungjawab lakukan siasatan segera bagi mengatasi isu melibatkan salah laku guru terhadap pelajar berhubung ‘pemeriksaan datang bulan’, supaya ia tidak mencemarkan institusi sekolah di negara ini.

Ketuanya, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, perkara berkenaan amat mengejut dan memalukan kerana ia masih berlaku dalam era kini.

“Bagi saya tindakan meraba bahagian sulit wanita bagi memastikan pelajar datang bulan adalah suatu tindakan yang melampau.

“Sekiranya dakwaan ini benar maka pihak berkaitan perlu mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan perkara ini dihentikan serta-merta dan tidak berulang lagi,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, jelasnya, tindakan memaksa pelajar mencalit kemaluan sendiri bagi membuktikan pelajar perempuan benar-benar sedang datang haid bukan saja menjatuhkan maruah mereka, bahkan melanggar privasi dan ia juga boleh disifatkan sebagai gangguan seksual.

“Saya percaya tindakan sebegitu adalah bertentangan dengan norma ataupun dasar pendidikan negara. Bahkan Islam sendiri menuntut kita supaya memelihara maruah serta aib orang lain.

“Sekolah seharusnya menjadi tempat yang tenang, seronok dan penuh kasih sayang yang membuatkan pelajar rasa gembira dalam menimba ilmu dan dan bukannya berasa terancam ataupun diganggu,” katanya.
-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here