BAZAR Aidilfitri dibenarkan beroperasi hingga jam 2 pagi berkuat kuasa esok.
Perkara itu diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan dimaklumkan pada bulan Ramadan ini, pengunjung-pengunjung bazar Aidilfitri mula membeli-belah selepas isyak dan terawih.
“Jadi apabila kerajaan benarkan setakat 12 tengah malam, waktu perniagaan mereka terlalu pendek.
“Justeru, mesyuarat hari ini bersetuju untuk melanjutkan perniagaan bazar Aidilfitri sehingga jam 2 pagi, berkuatkuasa mulai esok,” katanya dalam sidang media hari ini.
Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri berkata aktiviti rentas negeri kekal tidak dibenarkan.
“Kluster rentas negeri ini bukan sahaja mengakibatkan penularan jangkitan Covid-19 kepada kawasan zon hijau malah aktiviti pulang ke kampung menghadiri majlis-majlis sosial juga meningkatkan risiko jangkitan kepada golongan rentan seperti warga emas dan kanak-kanak.
“Sebagai contoh Kelantan sebanyak 10 Kluster rentas negeri telah direkodkan. Kluster ini masih ada dan menjangkiti beberapa generasi.
“Ini menyebabkan kesemua daerah Kelantan menjadi zon merah. Puncanya daripada kes rentas negeri sewaktu kita membuka sempadan negeri pada Disember 2020,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, disebabkan kes positif Covid-19 yang tinggi berkaitan rentas negeri maka KKM dan MKN menetapkan bahawa pergerakan rentas negeri perlu diperketatkan.
“Mesyuarat teknikal bersetuju bahawa rentas negeri kekal tidak dibenarkan,” katanya. – Malaysiapost

