Baru 5 minit dilepaskan, majikan pukul ‘bodyguard’ ditangkap semula

0
2

KURANG lima minit dilepaskan dengan ikat jamin di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, majikan yang didakwa memukul dua pengawal peribadinya kerana berpuasa ditahan semula polis, jam 4.30 petang tadi.

Sejurus selesai bayaran ikat jamin sebanyak RM10,000 di Kompleks Mahkamah di sini, Chung Chee Yang, 43, yang memakai baju T berkolar kelabu dikawal ketat oleh polis dari bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada aktiviti haram.

Menurut sumber, ahli perniagaan terkemuka dalam bidang hartanah itu akan dibawa ke Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman di Menara KPJ, Jalan Tun Razak dan disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 (Akta 613).

Katanya, dia ditahan bagi membantu siasatan berhubung rampasan 100 kilogram jongkong emas dalam rumah salah seorang suspek tersebut di Bukit Tinggi, Klang, Selangor.

Dalam operasi minggu lalu, polis turut merampas 12,500 keping not kertas AS$100 dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM28.25 juta.

“Pagi esok, kita akan bawa suspek ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk mendapatkan perintah reman bagi meneruskan siasatan lanjut,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Semalam, Chee Yang didakwa memukul dua pengawal peribadinya kerana berpuasa pada 1 Ramadan lalu, di Mahkamah Majistret Klang, sebelum sekali lagi didakwa atas tuduhan sama di Mahkamah Majistret hari ini.

Dia yang juga ahli perniagaan dalam bidang hartanah, industri makanan dan minuman, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas empat pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Fared Abdul Latif.

Sebekum ini, media melaporkan lima individu termasuk majikan ditahan selepas disyaki memukul dua pengawal peribadi kerana berpuasa,  turut dipercayai terlibat dalam aktiviti ah long dan judi online.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, perkara itu terbongkar hasil penahanan kesemua suspek dalam dua serbuan berasingan di Klang. – Malaysiapost

Foto Kredit: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here