Guna dana KWAN untuk vaksinasi membimbangkan – Tok Mat

0
2
Datuk Seri Mohamad Hasan

TINDAKAN kerajaan Perikatan Nasional (PN) menggunakan Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) bagi perolehan vaksin dan perbelanjaan yang berkaitan dengannya adalah sangat membimbangkan.

Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata tindakan tersebut sangat mengusarkan dan memperlihatkan kerentanan kemampuan kerajaan dalam mengurus krisis Covid-19.

“Dalam Belanjawan 2021, RM3 bilion diperuntukkan untuk vaksinasi 83% rakyat Malaysia. Namun, tidak ada penjelasan dan pendedahan yang terperinci tentang bagaimana anggaran itu dibelanja atau diuruskan.

“Sebulan yang lalu, peruntukan untuk Program Imunisasi Covid Nasional ini ditambah menjadi RM5 bilion. Tujuannya untuk mempercepatkan sasaran memvaksinkan 80% penduduk menjelang Disember dan bukannya Februari 2022 seperti yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Justeru, Mohamad mempersoalkan mengapa secara tiba-tiba kerajaan sekarang memerlukan dana daripada Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN)

Katanya, KWAN ditubuhkan kira-kira 30 tahun yang lalu untuk kepentingan generasi masa depan memandangkan sumber semula jadi negara semakin menyusut.

“Oleh kerana perkara ini adalah berkepentingan nasional, maka seharusnya ia dibincang dan dipertimbangkan secara menyeluruh oleh semua pihak dengan diserta ketelusan yang tinggi.

“Setakat ini, tidak ada perbincangan antara anggota pentadbiran kerajaan dengan wakil rakyat untuk memastikan kewujudan proses semak dan imbang,” katanya.

Mohamad berkata, selain itu juga, tidak ada ruang untuk jawatankuasa pilihan Parlimen memastikan ketelusan serta kebertanggungjawaban memandangkan Parlimen masih digantung, impak daripada peristiharan darurat.

“Persoalannya, wajarkah kerajaan Perikatan Nasional mempertaruhkan kesejahteraan generasi akan datang serta kelangsungan masa depan mereka tanpa meneroka pilihan lain terlebih dahulu?,” soalnya.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, kerajaan boleh mempertimbangkan untuk menawarkan vaksin percuma kepada golongan yang layak dan mengenakan bayaran kepada mereka yang mampu.

“Kita sebenarnya masih boleh mempertimbangkan untuk menawarkan vaksinasi percuma khusus kepada mereka yang tidak mampu. Bagi yang berkemampuan pula, mereka boleh membayar mengikut kadar harga pasaran.

“Mungkin situasi ini bukan pilihan yang terbaik, tetapi ia pasti lebih baik dari memperjudikan masa depan generasi akan datang,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here