Tidak siap kerja sekolah, murid dakwa guru pukul dengan pembaris hingga cedera

0
2

SEORANG murid tahun tiga sebuah sekolah rendah di Kuala Kedah cedera di tangan, jari dan muka semalam, dipercayai dipukul dengan pembaris oleh guru kerana tidak menyiapkan kerja sekolah. 
Susulan kejadian itu ibu kepada kanak-kanak lelaki yang berusia sembilan tahun itu membuat laporan polis. 
Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, berkata pihaknya menerima laporan wanita berusia 32 tahun itu pada 4.36 petang semalam. 
Menurutnya, berdasarkan laporan itu, wanita terbabit mengatakan semasa mengambil anaknya di sekolah pada jam 1 tengah hari, dia mendapati lengan dan jari kiri serta muka anaknya mengalami kecederaan. 
“Murid itu memaklumkan bahawa guru memukulnya menggunakan pembaris kerana tidak menyiapkan kerja sekolah,” katanya dalam satu kenyataan. 
Ahmad Shukri berkata, siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here