Dulu dibantu, sekarang Puan Ros tolong wanita senasibnya pula

0
2

PUAN Ros, ibu 10 anak yang diusir dari rumah sewa 10 hari sebelum Ramadan dulu dibantu berniaga dan mendapatkan tempat berteduh, kini giliran beliau membantu pula wanita senasibnya.

Perkara itu dikongsikan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim menerusi Facebooknya malam tadi.

Menurut Steven, setelah beliau membantunya, Puan Ros kini berniaga di pasar Ramadan di Alma, Bukit Mertajam.

“Tadi Ros telah melawat dan berbuka puasa dengan Ida, seorang wanita yang hampir senasib dengannya.

“Ida bukan sahaja diusir dari rumahnya pagi ini malah terpaksa menanggung hutang RM5,000 oleh suaminya, seorang warga asing yang telah meninggalkannya dan kembali ke negara asal. Poket hanya tinggal 50 ringgit.

“Ros tak kenal Ida. Tapi apabila dia dapat tahu tentang kesusahan dihadapi oleh Ida, dia menawarkan diri untuk melawat Ida. Ketika di sana, Ros tiba-tiba menghulurkan RM300 kepada Ida. Hanya orang yang pernah susah akan benar-benar faham kesusahan orang lain,” tulis Steven.

Katanya lagi, beliau berasa amat terharu kerana wanita yang pernah dibantunya kini mampu membantu orang lain pula yang dalam kesusahan.

“Ya betul, hidup ini penuh cabaran, ramai yang susah, sakit dan sedih. Tapi percayalah, kasih sayang tetap akan menang jua.

“Kasih sayang mampu mengatasi segala kepahitan dan keperitan. Daripada kasih sayang ibu bapa sehinggalah kasih sayang antara kekasih dan sesama manusia, kasih sayang begitu manis sekali,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here