Pak Lah sihat walafiat

0
2

PERDANA Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi berada dalam keadaan sihat walafiat dan masih tetap seperti dulu.

Perkembangan keadaan kesihatan Abdullah atau mesra dengan panggilan Pak Lah itu dikongsi Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Reezal yang juga Menteri Belia dan Sukan berkunjung ke rumah bekas Presiden Umno itu sempena Ramadan hari ini.

“Alhamdulillah. Rezeki Ramadan hari ini dapat berkunjung menziarahi Ayahanda Tun Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia ke-5 yang juga tok guru serta mentor saya yang sangat besar jasanya.

“Lazimnya saya akan menziarahi Ayahanda Tun Pak Lah dua kali sebulan. Cuma sejak empat lima bulan lalu saya tidak berkesempatan melakukannya lantaran situasi PKP akibat Covid-19.

“Ayahanda Tun Pak Lah sihat walafiat dan masih tetap seperti dulu. Ada sahaja gurau senda beliau tatkala kami mengimbau memori dan kenangan bersama,” tulisnya menerusi satu hantaran di Facebook.

Reezal mengakui perjalanan politiknya banyak dipandu dan dibentuk oleh Abdullah, malah beliau mewarisi satu legasi cukup besar yang dibina Pak Lah di Kepala Batas.

“Jasa dan bakti Ayahanda Tun Pak Lah kekal terpatri di Kepala Batas dan pastinya juga orang-orang Kepala Bataih cukup merindui Ayahanda Tun.

“Saya kongsikan foto ini teristimewa buat orang-orang Kepala Batas yang rindu dan sering bertanya tentang keadaan Ayahanda Tun Pak Lah setiap kali saya pulang ke Kepala Batas.

“Saya juga yakin ramai antara rakan-rakan maya malah rakyat Malaysia yang turut merindui beliau,” katanya.

Mengambil barakah Ramadan, beliau turut meminta rakyat Malaysia sama-sama mendoakan agar Abdullah serta isterinya Tun Jeanne sentiasa dikurnia kesihatan yang baik dan dilindungi Allah sepanjang masa. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here