Aiman Hanif
MAJLIS Tertinggi (MT) Umno dijangka akan menentukan sama ada pemilihan parti itu akan berlangsung tahun ini atau ditangguhkan Ahad ini.
Menurut sumber parti itu, Umno telah mengemukakan permohonan kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) bagi memohon penangguhan pemilihan Umno yang sepatutnya berlangsung Jun tahun ini.
“Apa yang pasti, mesyuarat MT Ahad nanti akan membincangkan soal pemilihan parti.
“Sama ada diadakan tahun ini atau dianjakkan selewat-lewatnya Disember 2022, bergantung kepada kelulusan RoS,” katanya kepada Malaysiapost.
Mesyuarat MT Ahad nanti pastinya akan menjadi perhatian kerana ia menentukan hala tuju parti itu selepas membuat keputusan memutuskan hubungan Bersatu.
Umno membuat keputusan menamatkan kerjasama dengan Bersatu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti pada Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini.
Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini juga turut meminta supaya menteri Umno menarik diri daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Dalam pada itu, sumber turut memaklumkan arahan supaya semua ahli Parlimen Umno tarik diri daripada PN akan dibangkitkan pada mesyuarat itu nanti.
“Ini mungkin dibangkit dalam mesyuarat MT Ahad ini walaupun agenda ini tiada dalam jadual mesyuarat.
“Namun, ada desakan agar sokongan ditarik segera iaitu 25 April ini. Mereka enggan akan dikenakan tindakan disiplin sama ada digantung atau dipecat,” katanya.- Malaysiapost

